MELAKA: Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata syarikat swasta akan menguruskan tempat letak kenderaan di Hospital Melaka pada tahun depan dalam usaha menyelesaikan isu tapak meletak kenderaan yang terhad di hospital berkenaan.

Ab Rauf berkata penswastaan berkenaan juga akan melibatkan penggunaan beberapa mekanisme seperti perkhidmatan 'valet parking' atau 'jockey' yang akan turut diperkenalkan.

"Inisiatif ini sedang diuruskan pihak teknikal Kementerian Kesihatan dan Hospital Melaka dijangka akan mengeluarkan tender kepada pihak swasta untuk menguruskan tempat meletak kenderaan pada tahun hadapan.

"Pihak swasta juga akan mengemukakan beberapa mekanisme yang sesuai digunakan bagi mengatasi isu tempat meletak kenderaan yang terhad di hospital ini dan kaedah berkenaan akan dipilih oleh pihak pengurusan Hospital Melaka," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas melakukan lawatan Program Bayi Merdeka Hospital Melaka yang turut dihadiri Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Ngwe Hee Sem.

Ab Rauf berkata penyerahan pengurusan tempat meletak kenderaan berkenaan kepada pihak swasta juga bertujuan menambah baik kemudahan agar lebih teratur selain mengurangkan tekanan waris pesakit untuk meletak kenderaan, khususnya pada waktu lawatan.

Pada Ogos tahun lepas, media melaporkan kerajaan negeri bercadang melaksanakan tempat meletak kenderaan khas berpusat di Taman 1 Lagenda di sini pada November tahun lepas bagi mengatasi masalah kesesakan kenderaan di Hospital Melaka.

Menerusi kaedah itu, sebanyak 200 lot letak kenderaan disediakan untuk waris pesakit, pelawat serta kakitangan Hospital Melaka dengan caj RM1 sejam dan mereka boleh menggunakan perkhidmatan bas 'shuttle' yang disediakan untuk ke hospital tersebut.

Sempena Hari Kebangsaan hari ini, sebanyak sembilan 'bayi merdeka' dilahirkan di Hospital Melaka iaitu enam perempuan dan tiga lelaki, setakat 9 pagi tadi.

Katanya bayi pertama perempuan dilahirkan pada pukul 12.57 awal pagi tadi, dengan berat 2.55 kilogram.

-- BERNAMA