Skip to main content

Malaysia

Syarikat tak berkeupayaan laksana Projek Residensi Siswa UM akan ditukar - PM Anwar

Anwar berucap pada majlis pelancaran Projek Residensi Siswa UM, di ibu negara hari ini. - Foto Bernama
Anwar berucap pada majlis pelancaran Projek Residensi Siswa UM, di ibu negara hari ini. - Foto Bernama

Advertisement

Ringkasan AI

  • Perdana Menteri mengarahkan syarikat tidak berkeupayaan dalam Projek Residensi Siswa UM ditukar bagi memastikan projek disiapkan lebih awal daripada jadual.
  • Kerajaan mempercepat proses kelulusan dengan mengarahkan semua kementerian dan jabatan berkaitan memberi kerjasama penuh tanpa menjejaskan integriti dan tadbir urus.
  • Pembangunan Residensi Siswa UM melibatkan dua fasa, dengan kapasiti keseluruhan menampung sehingga 40,000 mahasiswa, fasa pertama dijangka siap pada 2030.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan agar mana-mana syarikat yang didapati tidak berkeupayaan melaksanakan Projek Residensi Siswa Universiti Malaya (UM) ditukar bagi memastikan projek itu dapat disiapkan lebih awal daripada jadual.

Perdana Menteri berkata syarikat yang dilantik perlu membuktikan kemampuan memikul tanggungjawab, melaksanakan projek secara pantas serta memastikan prestasi kerja yang baik.

“Jadi, insya-Allah projek ini akan disiapkan lebih awal daripada jadual. Dan mana-mana syarikat kalau tunjukkan tidak ada keupayaan, kita tukar,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Projek Residensi Siswa UM, di sini hari ini.

Turut Hadir Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Zambry Abd Kadir dan Naib Canselor UM, Datuk Seri Profesor Noor Azuan Abu Osman.

Mengulas lanjut, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata kerajaan akan mempercepat proses kelulusan dengan mengarahkan semua kementerian dan jabatan berkaitan, termasuk Kementerian Kewangan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), memberikan kerjasama sepenuhnya.

Beliau berkata arahan itu akan diberikan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri esok tanpa menjejaskan aspek integriti dan tadbir urus.

“Jadi esok dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, saya akan beri arahan supaya semua jabatan yang terlibat seperti Kementerian Kewangan dan DBKL, yang penting dari segi kelulusan, semuanya ‘fast-track’.

“Kita yang bimbang ini kalau dia (projek) masuk hal-hal (melibatkan) untuk mencuri dan mengambil komisen. Tetapi kalau kita kawal ini semua, kita boleh lakukan dengan skala yang sangat pantas,” ujar Anwar.

Anwar menambah Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar perlu memanggil pihak berkaitan bagi menegaskan bahawa projek berkenaan berada di bawah perhatian langsung Perdana Menteri.

Selain itu, Perdana Menteri turut menekankan kepentingan aspek seni bina dalam perancangan projek berkenaan, termasuk mengambil kira persekitaran, keindahan dan nilai budaya.

Dalam masa sama, Anwar mengingatkan syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) supaya memberi tumpuan kepada aspek tanggungjawab sosial termasuk membantu menangani masalah penginapan mahasiswa.

“Syarikat-syarikat (GLIC) lain diminta tumpu dalam beberapa bidang.

“Saya mahu ini (Residensi Siswa UM) jadi contoh terbaik dan permulaan baharu untuk selesaikan masalah penginapan mahasiswa,” tegas Perdana Menteri lagi.

Pembangunan Residensi Siswa UM akan dilaksanakan dalam dua fasa dengan kapasiti keseluruhan untuk menampung sehingga 40,000 mahasiswa.

Fasa pertama dijangka siap pada 2030, dengan menyediakan kemudahan kediaman bagi 10,000 mahasiswa.

Manakala bagi fasa kedua, ia dirancang untuk menampung tambahan 30,000 lagi mahasiswa.
 

Must Watch Video

Advertisement