KUALA LUMPUR: Beberapa syarikat pengendali umrah segera menyusun semula jadual perjalanan serta menukar penerbangan jemaah yang terkandas di Madinah dan Jeddah susulan penangguhan penerbangan pulang akibat situasi semasa di Asia Barat.
Wakil daripada Tiram Travel Sdn Bhd memaklumkan penukaran penerbangan dibuat hasil rundingan dengan beberapa syarikat penerbangan yang masih beroperasi dan kumpulan pertama jemaah yang terkandas dijangka berlepas pulang ke Malaysia esok.
Advertisement
"Setakat ini, 80 jemaah umrah di bawah kendalian syarikat kami terkandas di Jeddah dan Madinah. Penerbangan mereka yang sepatutnya menggunakan Malaysia Airlines (MAS) dan dijadual berlepas semalam, bertukar kepada AirAsia.
"Masa penerbangan dan berapa ramai akan berlepas esok masih belum dapat ditentukan. Semuanya bergantung kepada masa penerbangan AirAsia dan tempat duduk yang masih kosong," katanya yang enggan dinamakan ketika dihubungi Bernama.
Beliau menjelaskan syarikat menanggung sepenuhnya kos tiket baharu manakala urusan pemulangan wang tiket asal bersama MAS akan dibincangkan kemudian.
"Keutamaan ketika ini adalah memastikan semua jemaah dapat dibawa pulang dengan segera dan selamat," katanya.
Dalam pada itu, Mutawwif Dhia Travel Sdn Bhd Ahmad Rokin Ahmad Suhimi berkata proses rundingan penukaran penerbangan sedang dilakukan oleh pihak ibu pejabat syarikat dengan beberapa syarikat penerbangan yang menawarkan penerbangan terus tanpa transit.
Beliau berkata penerbangan asal melibatkan transit di Dubai, namun Lapangan Terbang Antarabangsa Dubai Terminal 3 yang sepatutnya menjadi destinasi transit terjejas berikutan insiden keselamatan.
"Pihak syarikat kini sedang berunding dengan syarikat penerbangan asal, flydubai dengan beberapa syarikat lain yang masih mempunyai operasi penerbangan ke Jeddah, antaranya Saudia Airlines dan AirAsia.
"Sekiranya masih ada kekosongan tempat duduk dan ruang udara disahkan selamat, kita berharap dapat menerbangkan semua jemaah pulang menggunakan penerbangan terus tanpa transit," katanya.
Beliau berkata setakat ini, 150 jemaah kumpulan kedua dan ketiga kendalian syarikat itu terkandas di Madinah selepas penerbangan yang dijadualkan berlepas secara berperingkat bermula Ahad lepas dibatalkan.
Ahmad Rokin berkata Dhia Travel mengambil inisiatif menanggung segala kos tambahan termasuk penginapan, makan minum serta pengangkutan darat bagi memastikan kebajikan jemaah terus terpelihara.
"Pihak syarikat tidak membuat rundingan dengan jemaah untuk kenakan bayaran tambahan atau sebagainya, tetapi rundingan dengan syarikat penerbangan bertujuan menukar tiket asal kepada penerbangan alternatif tanpa melibatkan kos tambahan kepada jemaah," katanya.
Beliau berkata keadaan jemaah setakat ini terkawal, selesa serta tenang selain memanfaatkan masa yang ada untuk memperbanyakkan ibadat di Masjid Nabawi.
Sebanyak 33 jemaah wanita Malaysia di bawah jagaan beliau kini berada di Madinah dan dipantau rapi oleh mutawwif serta pasukan operasi Haramain di Arab Saudi.
"Sepatutnya mereka pulang pada 28 Feb, namun disebabkan berlakunya konflik Asia Barat penerbangan kami terpaksa dibatalkan dan belum ada tarikh tepat penerbangan seterusnya.
"Bagaimanapun, pihak agensi penerbangan telah menyediakan penginapan tambahan kepada jemaah terkandas manakala urusan logistik kami uruskan termasuk pengangkutan dan komunikasi berterusan," katanya.
Beliau berkata kebimbangan awal yang tercetus dalam kalangan jemaah berjaya ditenangkan hasil peranan mutawwif dan pasukan di lapangan.
Sementara itu, seorang jemaah umrah Nurul Izati Ishak, 33, berkata mereka kini dalam keadaan selamat dan berharap konflik yang berlaku segera reda agar semua jemaah yang dapat pulang ke tanah air.
"Memang terkejut dan risau sampai ada rakan sebilik mengalami tekanan perasaan kerana terlalu fikirkan situasi itu. Bagaimanapun, kami lihat situasi ini dari sudut positif. Kalau ikut jadual asal, kami hanya lima hari di Madinah tapi sekarang dapat lebih masa untuk beribadah dan kami anggap ini adalah hikmahnya," katanya.
-- BERNAMA