IPOH: Ahli Parlimen Bukit Gantang Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal dilantik mengetuai jawatankuasa berkaitan isu menangani harga makanan dan kos sara hidup.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengesahkan perkara itu berkata bekas Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) berkenaan akan mengetuai kluster tersebut di bawah Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL).

"Saya nanti tugaskan Syed Abu Hussin bantu dalam mesyuarat penyelarasan harga barang makanan, NACCOL ini, saya mengesahkan supaya dia akan mengepalai kluster yang akan tambah ikhtiar supaya Jualan Madani ini dapat kita tingkatkan di seluruh negara dan kena perluaskan dan kerapkan lagi," katanya ketika berucap selepas mengadakan lawatan pada program Jualan Termurah Khidmat Demi Rakyat di Padang Awam Klebang Restu di sini hari ini.

Dalam pada itu, ketika bercakap kepada media Syed Abu Hussin Hafiz berkata beliau bersedia menerima tanggungjawab tersebut termasuk bagi melaksanakan program jualan tersebut di seluruh negara.

Katanya, beliau berpandangan terdapat beberapa kaedah bagi menstabilkan harga barangan keperluan termasuk beras.

"Langkah paling awal ialah beras. Kemudian kita akan ikuti dengan barang-barang yang lain sebab beras sekarang dah kritikal.

"Jadi kalau saya ada peluang diberikan kuasa untuk saya menguruskan ini, insya-Allah kita akan tunjukkan kepada rakyat dan kita akan tunjukkan kepada kerajaan bahawa ada kaedah yang boleh dibuat untuk menstabilkan harga barang-barang makanan utama," katanya.

-- BERNAMA