SHAH ALAM: Ketua Kluster Makanan Majlis Tindakan Kos Sara Hidup (NACCOL), Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal memutuskan untuk menangguhkan sidang media mengenai Beras Putih Malaysia Madani yang dijadualkan pada Sabtu.

Syed Abu Hussin berkata, beliau masih belum menentukan tarikh baharu untuk penjelasan mengenai beras berkenaan.

“Saya tangguh dahulu penjelasan mengenai Beras Putih Malaysia Madani.

“Kita tunda ke suatu tarikh yang masih belum ditetapkan lagi,” katanya kepada Sinar Harian ketika dihubungi pada Jumaat.

Sebelum ini, media tempatan melaporkan, Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal akan mengadakan taklimat media untuk memberi penjelasan mengenai isu beras putih Malaysia Madani.

Pada 14 Januari lalu, Ahli Parlimen Bukit Gantang itu mengumumkan bahawa kerajaan akan memperkenalkan Beras Putih Malaysia Madani yang dijual pada harga RM30 dengan berat 10 kilogram (kg) sekampit.

Katanya, pelaksanaan tersebut berkuat kuasa 19 Februari ini dan dijangka berada di pasaran bermula 1 Mac.

Ditanya mengenai mesyuarat NACCOL yang dikatakan bakal dijadualkan pada esok, beliau berkata, masih belum ada apa-apa maklumkan mengenai mesyuarat itu.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang akan memutuskan tarikh pelaksanaan mesyuarat NACCOL.

“Jadi saya tidak tahu mengenai mesyuarat berkenaan kerana bukan saya yang tentukan perbincangan tersebut,” ujarnya.

*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian