MALAYSIA
Syed Alwi kini Ketua Eksekutif Baharu HRD Corp

Menurut HRD Corp, pelantikan ini dijangka memperkukuh hala tuju strategik organisasi dalam memperkasakan pembangunan modal insan negara. - Foto HRD Corp
KUALA LUMPUR: Human Resource Development Corporation (HRD Corp) hari ini mengumumkan pelantikan Syed Alwi Mohamed Sultan sebagai Ketua Eksekutif baharu, berkuat kuasa serta-merta.
Ringkasan AI
- Syed Alwi Mohamed Sultan dilantik sebagai Ketua Eksekutif HRD Corp, membawa lebih 27 tahun pengalaman dalam sektor kewangan, teknologi perbankan dan pengurusan strategik.
- Beliau pernah mengetuai institusi seperti Agrobank, BNP Paribas (Islamic Banking), dan UMPSA Holdings serta mempunyai kelulusan PhD dalam Kewangan dan MBA Kewangan Islam dari UIAM.
- HRD Corp menjangka pelantikan ini akan memacu transformasi digital dan inovasi, sejajar dengan misi memperkasa pembangunan tenaga kerja berkemahiran di Malaysia.
Antara jawatan utama yang pernah disandang beliau termasuk Pengarah Urusan BNP Paribas Malaysia Bhd (Perbankan Islam), Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UMPSA Holdings Sdn Bhd.
Syed Alwi juga pernah berkhidmat di institusi kewangan terkemuka seperti Standard Chartered Saadiq, The Islamic Bank of Asia (Singapura), HL Bank (Singapura) dan MRANTI Corporation, di mana beliau memainkan peranan penting dalam meningkatkan kecemerlangan operasi dan nilai organisasi.
Beliau berkelulusan Ijazah Kedoktoran (PhD) dalam bidang Kewangan dari Universiti Malaya, Ijazah Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) serta Ijazah Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) kelas pertama dalam Kewangan Islam dari UIAM. Syed Alwi turut menamatkan Program Fintech Oxford di Saïd Business School, University of Oxford.
Menurut HRD Corp, pelantikan ini dijangka memperkukuh hala tuju strategik organisasi dalam memperkasakan pembangunan modal insan negara serta menyokong agenda transformasi digital dan inovasi sumber manusia.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami