Syed Saddiq terpaksa lari, guna jalan tikus, lompat pagar

Farhana Joni
Februari 1, 2020 03:00 MYT
Sekumpulan lelaki yang didakwa menyerang Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman di Ulu Tiram, Johor, semalam. - Foto Twitter @HafizRayyan.
Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata beliau terpaksa lari, menggunakan 'jalan tikus' dan melompat pagar seperti orang yang bersalah gara-gara diserang 200 individu yang berlagak seperti gangster di Ulu Tiram, Johor, semalam.
Jelasnya yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), bukan hanya beliau yang terpaksa mengambil langkah demikian malah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen dan Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang.
Katanya menerusi status di akaun Instagram miliknya, kumpulan yang berpakaian hitam itu muncul ketika beliau ingin berkumpul bersama Srikandi dan Bahagian Bersatu.
"Mereka semua berdiri mengepung tempat makan kami, sergah dan langgar semua tetamu yang hadir. Mereka laung dan pekik macam-macam kata-kata kesat. Ibu bapa saya juga jadi saksi malam ini.
"Ini apa? Ada anak-anak kecil, wanita di dalam majlis. Paling teruk, mereka sergah supaya menteri minta maaf kepada TMJ (Tunku Mahkota Johor), kalau mahu pulang dari majlis.
"Apa yang berlaku, saya pun tak tahu. Yang saya tahu, ini biadab dan kurang ajar. Apa salah saya? Saya berkhidmat untuk rakyat," tulisnya.
Tegas Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar, beliau tidak akan memaafkan 200 individu terbabit dan mengingatkan mana-mana pihak yang bertindak di belakang tabir kumpulan biadab itu bahawa negara ini mempunyai undang-undang.
"Malaysia ini ada undang-undang, ada polis ada mahkamah. Tidak ada sesiapa yang lebih tinggi daripada Perlembagaan. Baik saya atau orang lain.
"Ini Malaysia, Malaysia milik semua," tulisnya.
Sementara itu, beberapa netizen turut berkongsi video perbuatan kumpulan berkenaan di akaun Twitter Syed Saddiq dan mengutuk tindakan mereka.
#Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen #gangster #Instagram #jalan tikus #Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda Armada #lari #lompat pagar #Mazlan Bujang #Menteri Belia dan Sukan #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #TMJ