[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Syed Saddiq tiba di mahkamah bagi keputusan kes rayuan dana Armada

Yasmin Natasha 17/04/2025 | 01:15 MYT
Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman, Putrajaya, bagi mendengar keputusan kes rayuan berhubung sabitan dan hukuman berkaitan dana Armada. - Gambar Astro AWANI/ SHAHIR OMAR
PUTRAJAYA : Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tiba di Istana Kehakiman, di sini, pagi ini bagi mendengar keputusan kes rayuan berhubung sabitan dan hukuman berkaitan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Bekas Menteri Belia dan Sukan itu tiba sekitar pukul 8.27 pagi dengan memakai sut berwarna hitam dan diiringi dua pegawainya.
Turut kelihatan selebriti Bella Astillah yang hadir memberi sokongan kepada Syed Saddiq.
Sebelum itu, ahli keluarga Syed Saddiq terdiri daripada ibu bapa, kakak dan abangnya serta saudara terdekat tiba di lobi Istana Kehakiman, kira-kira jam 8 pagi tadi.
Pada 20 Mac lalu, Mahkamah Rayuan menangguhkan prosiding rayuan Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas faktor kesihatan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharuddin Wan Ladin.
Pada 9 November 2023, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menjatuhkan hukuman terhadap Syed Saddiq, selepas mendapati beliau bersalah atas empat pertuduhan membabitkan pecah amanah, salah guna harta, dan pengubahan wang haram berkaitan dana Armada.
Keputusan itu dibuat oleh Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid yang dalam penghakiman setebal 22 muka surat menolak pembelaan Syed Saddiq dan menyifatkan keterangannya sebagai 'tidak masuk akal.'
Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan Syed Saddiq untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.
Susulan keputusan berkenaan, bekas Ketua Armada Bersatu itu memfailkan rayuan dengan mengemukakan 18 alasan dalam petisyen rayuannya bagi mengetepikan hukuman serta dibebaskan daripada semua pertuduhan.
#kes Syed Saddiq #dana armada #Bella Astillah #pengubahan wang haram