NATIONAL
Syed Yasir Arafat lepaskan jawatan CEO Ekuinas pada 31 Mac
Syed Yasir menamatkan tempoh perkhidmatannya yang cemerlang selama 15 tahun bersama firma tersebut, termasuk sembilan tahun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif. - Gambar Ekuinas
KUALA LUMPUR: Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas) hari ini mengumumkan Datuk Syed Yasir Arafat Abd Kadir akan melepaskan jawatan sebagai Ketua Pegawai Eksekutif pada 31 Mac 2025.
Ekuinas dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini berkata, Syed Yasir menamatkan tempoh perkhidmatannya yang cemerlang selama 15 tahun bersama firma tersebut, termasuk sembilan tahun sebagai Ketua Pegawai Eksekutif.
"Ia merupakan satu penghormatan besar untuk menerajui Ekuinas dalam perjalanannya menjadi sebuah institusi pelaburan yang berfokus kepada prestasi dan berorientasikan matlamat
"Bersama pasukan pengurusan dan kakitangan yang berkaliber, kami telah membangunkan sebuah platform yang bukan sahaja mencipta nilai, malah mendorong impak jangka panjang yang inklusif untuk Malaysia. Saya amat berbangga dengan pencapaian kami," kata Syed Yasir.
Sejak menerajui Ekuinas pada 2016, Syed Yasir memainkan peranan penting dalam transformasi terkemuka menguruskan Dana di Bawah Pengurusan berjumlah RM4.0 bilion serta melaksanakan pelaburan langsung berjumlah RM5.6 bilion dalam 28 buah syarikat.
Beliau juga telah menerajui penubuhan Dana Asas iaitu sebuah dana ekuiti persendirian yang memfokuskan kepada syarikat Bumiputera pasaran pertengahan berpertumbuhan tinggi.
Ia termasuk memperkenalkan Kredit Persendirian sebagai kelas asset pelaburan baharu.
Sebagai sebahagian daripada pelan peralihan kepimpinan jangka panjang Ekuinas, Aliff Omar Mohamad Omar, yang kini memegang jawatan Pengarah Kanan, Pelaburan akan mengambil alih sebagai Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif.
Aliff Omar telah bersama Ekuinas sejak 2017 dan dengan pengalaman lebih daripada 16 tahun dalam kewangan korporat, penggabungan dan pengambilalihan serta pasaran modal.
Beliau telah berjaya mengemudi pelbagai transaksi berimpak tinggi di Malaysia dan Asia Tenggara.
Sementara itu, Pengerusi Ekuinas, Tan Sri Shahril Ridza Ridzuan berkata, sebagai antara anggota perintis Ekuinas, Syed Yasir meninggalkan legasi kepimpinan dan visi yang besar.
"Komitmen beliau dalam membina pemimpin masa hadapan telah menjadi faktor utama dalam menyediakan Aliff untuk peralihan ini
"Lembaga Pengarah yakin sepenuhnya dengan keupayaan Aliff Omar untuk menerajui Ekuinas ke fasa pertumbuhan yang seterusnya, sambil mengekalkan nilai teras firma ini", tambah beliau