Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), panel bebas yang memantau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menolak syor Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) yang mahu SPRM diletakkan di bawah suruhanjaya tersebut.

Pengerusi JKMR, Senator Tan Sri Abu Zahar Ujang berkata, oleh kerana kedua-dua EAIC dan SPRM mempunyai tujuan dan fungsi yang berbeza, maka syor meletakkan SPRM di bawah EAIC adalah tidak perlu.

"Justeru, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah berpendapat tidak perlu meletakkan SPRM di bawah seliaan SIAP (EAIC)," kata beliau dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Katanya, "saya berpendapat bahawa dengan jelas bahawa Akta SIAP ini mempunyai tujuan dan fungsi-fungsinya bertumpu khas kepada peruntukan-peruntukan yang termaktub dalam Akta tersebut sahaja dan tidak sekali-sekali patut dikaitkan dengan Akta SPRM 2009."

Abu Zahar berkata, beliau selaku Pengerusi JKMR, dan pengerusi empat panel bebas lain yang turut memantau SPRM sedia mendengar pandangan untuk tujuan memperbaiki lagi perjalanan SPRM, tetapi bukannya bertujuan meletakkan SPRM di bawah EAIC.

"Malah saya sendiri bersama-sama ahli JKMR dan lain-lain pemimpin-pemimpin, jika perlu bersedia untuk memberi penjelasan atau taklimat kepada pemimpin-pemimpin dan pegawai-pegawai EAIC mengenai perjalanan dan kedudukan SPRM sejak tujuh tahun yang lalu," kata beliau.

Pada 28 November lalu, Pengerusi EAIC, Datuk Yaacob Md Sam berkata, pihaknya mahu SPRM disenaraikan sebagai agensi penguat kuasa di bawah kawal selia EAIC.

Yaacob berkata, EAIC menerima banyak pertanyaan mengenai SPRM yang dikecualikan daripada seliaan Suruhanjaya itu.

Abu Zahar menambah, setelah membuat kajian teliti dan terperinci, berkenaan kedua-dua Akta SPRM 2009 yang diwartakan pada 8 Januari 2009 dan Akta SIAP 2009 yang diwartakan pada 3 September 2009, beliau mendapati cadangan Pengerusi EAIC adalah tidak wajar dan tidak perlu dipertimbangkan.

Mengikut Akta SPRM, jelas beliau, SPRM "adalah sebuah suruhanjaya bebas, yang betul-betul bebas dan tidak terikat kepada mana-mana agensi lain."

"Ini adalah selaras dengan kehendak Artikel 36, United Nations Convention Against Corruption (UNCAC), yang mana menghendaki suatu entiti pencegahan rasuah bebas dilaksanakan selaras dengan Seksyen 14(5) Akta SPRM 2009; saya selaku Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, dianggotai oleh tujuh orang yang dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong, yang terdiri dari kalangan ahli Dewan Negara dan Dewan Rakyat termasuk wakil-wakil ahli parti pembangkang," katanya.

"Mengikut Akta SPRM 2009 juga, pada masa ini, selain Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah, SPRM juga dipantau oleh empat lagi panel bebas yang terdiri daripada tokoh-tokoh profesional seperti bekas-bekas hakim, peguam, akauntan, pegawai-pegawai tinggi kerajaan, tokoh akademik, dan pertubuhan bukan kerajaan," tambah Abu Zahar.

Malah katanya, Akta SIAP 2009 yang diwartakan pada 3 September 2009 selepas Akta SPRM 2009 dengan jelas didapati Akta SIAP hendaklah terpakai bagi agensi-agensi penguatkuasaan yang ditetapkan oleh Perdana Menteri dalam Jadual."

"Seterusnya, dengan jelas juga Seksyen 1(5) (Akta SIAP) menyatakan “walau apa pun subseksyen (4), Akta ini tidak terpakai bagi SPRM," katanya.