KUALA LUMPUR : Jawatankuasa Pasukan Jihad Tangani Inflasi menolak syor untuk menaikkan atau mengapungkan harga gred kawalan telur ayam.

Justeru kata Pengerusinya, Tan Sri Annuar Musa harga gred kawalan berkenaan akan dikekalkan.

"Daripada tinjauan kita ada kekurangan bekalan telur ini, kerana subsidi 3 sen kerajaan didakwa pengeluar dan pengedar sebagai tidak cukup attractive (menarik) sebab kos mereka adalah lebih tinggi. Apa yang dilakukan, mereka keluarkan telur tiada harga kawalan seperti telur Omega, menyebabkan bekalan gred kawalan berkurangan.

"Sebagai contoh, apabila lepasi umur tertentu, ayam itu akan keluar gred kita nak, tetapi sebab tidak berapa untung, penternak keluarkan makanan tertentu untuk (ayam hasilkan) telur Omega sebab tidak ada harga kawalan. Jadi mereka tidak biar ayam keluarkan telur gred dikawal tetapi keluarkan gred premium lain," katanya semasa sidang media Pasukan Jihad Tangani Inflasi di bangunan Parlimen di sini pada Khamis.

Bagaimanapun, bagi cadangan kedua iaitu syor semakan semula jumlah subsidi kepada pengeluar telur gred A, B, dan C akan dibawa ke mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

"Oleh kerana ini di luar skop jawatankuasa, maka ia akan dibawa ke mesyuarat Kabinet esok (Jumaat) kerana ia melibatkan implikasi kewangan kerana nilai yang diluluskan setakat ini ialah RM34 juta sebulan," ujarnya lagi.

Sementara itu, katanya, Jualan Murah Keluarga Malaysia sedang dilaksanakan di 585 premis dan merupakan angka terbesar sejak program itu dilancarkan.

"Ia telah mencapai 92 peratus, daripada kedai yang melaksanakan Jualan Murah Keluarga Malaysia, meliputi kawasan DUN (Dewan Undangan Negeri) seluruh negara. Kita harap dapat buka lagi banyak selepas ini," ujarnya.

Selain itu, 15 juta rakyat telah menerima manfaat daripada Jualan Murah Online De Dagang bagi tempoh 19 hingga 25 September lalu.

"15 juta rakyat menerima manfaat dalam bentuk diskaun, rebat dan subsidi, penghantaran secara online. 241,000 peniaga mendapat manfaat daripada program ini," tambahnya.

Dalam pada itu, Kementerian Komunikasi dan Multimedia (K-KOMM) akan membawa cadangan penambahan 5,000 metrik tan minyak masak peket bersubsidi ke mesyuarat Kabinet pada Jumaat.

Annuar yang juga menteri K-KOMM berkata, langkah itu bagi mengimbangi bekalan minyak masak sedia ada dan memenuhi permintaan pasaran termasuk program jualan murah.
 
"Kementerian telah membuat cadangan untuk melaksanakan bekalan tambahan 5,000 metrik tan untuk dipohon mendapat kelulusan jemaah menteri esok untuk bolehkan bekalan tambahan minyak bersubsidi dalam plastik dikeluarkan untuk mengimbangi bekalan daripada sedia ada, iaitu sebanyak 60,000 metrik tan.

"Jadi ada 5 ribu tambahan kita akan pohon supaya bekalan lebih kemas dan sampai ke pusat tertentu termasuk program jualan murah sednag mendapat sambutan baik sekali," katanya lagi.