MALAYSIA

Tabika, Taska Perpaduan terima peruntukan RM55.5 juta tahun 2026 - Aaron

Bernama 12/01/2026 | 05:12 MYT
Aaron (foto) berkata peruntukan itu bertujuan menyediakan sokongan dan bantuan kepada murid Tabika dan Taska Perpaduan, selain memupuk minat dan motivasi pembelajaran serta mengurangkan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan murid-murid.
PUTRAJAYA: Tabika dan Taska Perpaduan terus menjadi keutamaan Kerajaan MADANI dengan peruntukan berjumlah RM55.5 juta bagi sesi persekolahan 2026.


Ringkasan AI
  • Kerajaan MADANI peruntukkan RM55.5 juta untuk Tabika dan Taska Perpaduan bagi sesi persekolahan 2026.
  • Peruntukan tersebut menyediakan sokongan kepada murid-murid, membantu ibu bapa, dan memupuk minat serta motivasi pembelajaran.
  • Program Pengukuhan Profesionalisme Guru Tabika Perpaduan dan Kurikulum Prasekolah baharu turut diperkenalkan untuk membentuk generasi muda yang patriotik.

Klik di sini untuk FAQ berkaitan artikel ini

Perkara itu diumumkan Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang hari ini ketika menyempurnakan Program Santuni Murid Tabika Perpaduan - Kembali ke Tabika Perpaduan sesi 2026 di Tabika Perpaduan Seroja, Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang.

Aaron dalam kenyataan hari ini berkata peruntukan itu bertujuan menyediakan sokongan dan bantuan kepada murid Tabika dan Taska Perpaduan, selain memupuk minat dan motivasi pembelajaran serta mengurangkan beban kewangan ibu bapa dalam menyediakan keperluan murid-murid.

Beliau menjelaskan peruntukan tersebut merangkumi Bantuan Makanan Tambahan sebanyak RM24.39 juta, Geran Per Kapita RM3.5 juta, RM20 juta bagi pembaikan Tabika Perpaduan kondusif, Starter Kit merangkumi baju seragam, beg galas, selimut dan tuala sebanyak RM2.29 juta, peralatan pengajaran, pembelajaran dan keselamatan RM1.93 juta, insurans RM359,640.

Selain itu, peruntukan itu turut merangkumi Program Pengukuhan Profesionalisme Guru Tabika Perpaduan dan Pendidik Taska Perpaduan sebanyak RM300,630 dan Program Generasi Cilik Perpaduan sebanyak RM2.71 juta.

Aaron berkata seramai 33,307 murid berumur empat hingga enam tahun berdaftar di 1,781 Tabika Perpaduan, manakala 998 kanak-kanak berumur dua hingga empat tahun berdaftar di 41 Taska Perpaduan seluruh negara bagi hari pertama sesi 2026.

Beliau menegaskan Taska dan Tabika Perpaduan adalah antara pusat pendidikan awal kanak-kanak milik kerajaan yang menyediakan perkhidmatan percuma tanpa sebarang bayaran.

"Tabika Perpaduan juga akan melaksanakan Kurikulum Prasekolah baharu bermula tahun ini dengan menerapkan nilai perpaduan, hormat dan kasih sayang sejak di awal usia, selari dengan fokus kementerian iaitu pembinaan negara bangsa.

"Ia bertujuan membentuk generasi muda berjiwa patriotik, sekaligus memperkasakan murid sebagai ejen perubahan sosial," katanya.

Menurut Aaron modul khas seperti modul Rukun Negara dan bahasa ketiga termasuk Tamil, Mandarin, Iban dan Kadazan yang dilaksanakan oleh Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional (JPNIN) juga akan disejajarkan dalam pelaksanaan Kurikulum Prasekolah 2026.

-- BERNAMA

Fakta Segera: Jawapan Pantas Dari AI
  • Q: Berapakah jumlah peruntukan yang diperuntukkan bagi Tabika dan Taska Perpaduan sesi persekolahan 2026?
    A: RM55.5 juta.
  • Q: Berapa jumlah murid yang berdaftar di Tabika Perpaduan dan Taska Perpaduan pada hari pertama sesi 2026?
    A: Seramai 33,307 murid berumur empat hingga enam tahun di 1,781 Tabika Perpaduan dan 998 kanak-kanak berumur dua hingga empat tahun di 41 Taska Perpaduan.
  • Q: Apakah tujuan peruntukan tersebut bagi Tabika dan Taska Perpaduan?
    A: Tujuannya adalah untuk menyediakan sokongan, bantuan kepada murid, memupuk minat dan motivasi pembelajaran, serta mengurangkan beban kewangan ibu bapa.



#Aaron Ago Dagang #Tabika dan Taska Perpaduan #sesi persekolahan 2026 #peruntukkan RM55 5 juta