MELAKA: Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) merampas sebanyak 50 tabung kutipan derma haram dalam Operasi Tanggal yang dilakukan di sekitar negeri ini pada Khamis.

Pengarahnya, Datuk Che Shukri Che Mat berkata, daripada jumlah itu 35 tabung dirampas di sekitar daerah Melaka Tengah membabitkan 12 premis, 10 tabung di daerah Jasin membabitkan enam premis dan lima tabung dirampas di daerah Alor Gajah membabitkan tiga premis.

Menurutnya, modus operandi sindiket tabung kutipan derma ini dengan meninggalkan tabung di premis seperti kedai makan, warung, pasar raya, stesen minyak dan kedai runcit dalam tempoh tertentu sebelum datang mengambil semula tabung tersebut.

Katanya, tabung-tabung tinggal yang mempunyai nama individu, kumpulan pertubuhan atau institusi yang tertera pada tabung boleh dikenakan tindakan.

"Selain itu pemilik premis juga boleh dikenakan tindakan oleh penguat kuasa kerana terlibat atau mengambil bahagian dalam pungutan khairat tanpa kebenaran.

"Seharusnya tabung pungutan khairat di negeri ini perlu mendapat kebenaran Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) dan tertakluk pada syarat-syarat yang telah ditetapkan termasuk mengeluarkan resit," katanya kepada pemberita selepas operasi di MITC di Ayer Keroh di sini pada Khamis.

Jelas beliau, ada antara tabung berkenaan dipercayai berselindung di sebalik nama tahfiz ataupun madrasah yang tidak wujud ataupun tidak lagi beroperasi.

"Jika kita hubungi nombor talian yang tertera di setiap tabung itu kebanyakan tidak berfungsi dan tidak aktif. Mereka sengaja meletakkan nombor telefon bagi menyakinkan orang ramai.

"Kita berharap pemilik premis lebih bertanggungjawab dan tidak membenarkan tabung-tabung kutipan derma diletakkan di premis mereka kerana menyalahi di bawah Seksyen 94 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Melaka (pindaan) 2022," katanya lagi.

Tambah beliau, jika sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. -Sinar Harian