KUALA LUMPUR: Angkatan Muda KEADILAN (AMK) mempersoalkan kewajaran desakan Perikatan Nasional (PN) dan UMNO supaya Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) baharu ditubuhkan bagi menyiasat semula isu pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH).
Ketua AMK, Muhammad Kamil Abdul Munim berkata, RCI yang laporannya dibentangkan baru-baru ini bukan ditubuhkan oleh Kerajaan MADANI, sebaliknya proses penubuhannya dimulakan ketika PN dan UMNO berada dalam kerajaan.
Menurut beliau, tindakan meminta RCI baharu hanya kerana tidak berpuas hati dengan dapatan siasatan menimbulkan persoalan mengenai tujuan sebenar desakan tersebut.
"RCI bukan alat untuk mencari keputusan yang memihak kepada mana-mana parti politik. Ia diwujudkan untuk mencari kebenaran berdasarkan fakta, dokumen dan keterangan.
"Jika ada kesilapan dalam laporan, kemukakan bukti. Jika ada fakta yang tidak tepat, buktikan. Jangan menolak dapatan hanya kerana ia tidak selari dengan kepentingan politik sendiri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Sehubungan itu, beliau turut membangkitkan tindakan wakil PN yang didakwa keluar dewan ketika laporan RCI dibentangkan di Dewan Rakyat sebelum ini.
Katanya, tindakan itu menunjukkan mereka tidak memanfaatkan ruang yang diberikan untuk meneliti dan mendengar dapatan siasatan secara menyeluruh dan sekiranya terdapat bukti baharu, percanggahan fakta atau kelemahan dalam proses siasatan, perkara itu sepatutnya dibentangkan secara terbuka dan bukan dijadikan alasan untuk menubuhkan suruhanjaya baharu.
Pada masa sama, beliau menegaskan Tabung Haji merupakan institusi yang membawa amanah jutaan pendeposit dan tidak seharusnya dijadikan bahan permainan politik.
"Kalau prinsipnya ialah setiap keputusan yang tidak kita suka mesti diulang, sampai bila pun tidak akan ada penghujungnya.
"Akhirnya RCI bukan lagi menjadi mekanisme mencari kebenaran, tetapi menjadi alat mencari jawapan yang kita mahu," katanya.