Skip to main content

Malaysia

Tabung Masjid Seksyen 7 Shah Alam dicuri, polis buru empat suspek

Sumber: Masjid Seksyen 7 Shah Alam
Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian kecurian tabung masjid di Masjid Seksyen 7, Jalan Kristal di Shah Alam, awal pagi pada Ahad.

KUALA LUMPUR: Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian kecurian tabung masjid di Masjid Seksyen 7, Jalan Kristal di Shah Alam, awal pagi pada Ahad.

Menurut Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Ramsay Embol, kejadian dipercayai berlaku kira-kira jam 4 pagi melibatkan empat lelaki warga tempatan yang menaiki sebuah kenderaan jenis Toyota Avanza berwarna perak dengan nombor pendaftaran tidak dapat dipastikan.

Advertisement

Beliau berkata, laporan polis berhubung kejadian itu diterima pada hari sama kira-kira jam 10.36 pagi daripada seorang saksi lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an yang merupakan pengawal keselamatan masjid berkenaan.

“Hasil siasatan awal di lokasi mendapati masjid tersebut dilengkapi kamera litar tertutup (CCTV).

"Pihak polis akan mendapatkan rakaman daripada pengurusan masjid bagi membantu siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan, pada Isnin.

Katanya, usaha mengesan dan menangkap semua suspek sedang giat dijalankan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan boleh dikenakan denda.

Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Penolong Pegawai Penyiasat, Sjn. Mohd Minazuddin Md Noor di talian 013-2236697 atau Ibu Pejabat Polis Daerah Shah Alam di talian 03-55202222 bagi membantu siasatan.

Must Watch Video