PUTRAJAYA: Pencukaian bukanlah perkara yang paling utama untuk menangani penyelewengan dan kebocoran dana Kerajaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, tetapi yang paling penting ialah tadbir urus yang baik.

Beliau berkata, pencukaian adalah elemen kedua dalam mana-mana polisi ekonomi awam yang munasabah.

“Pertamanya, kita perlu memberi tumpuan kepada urus tadbir, dan pastikan tiada lagi kebocoran yang tidak perlu atau penyelewengan. Jika kita boleh betulkan perkara ini, barulah kita boleh memberikan tumpuan pula kepada pencukaian.

“Harus diingat, pencukaian adalah sesuatu yang penting jika ia benar-benar kritikal. Jangan sesekali lupa bahawa negara ini mempunyai dua masalah yang terbesar, iaitu urus tadbir, dan keduanya penyelewengan yang sudah menjadi sistemik,” katanya lagi.

Perdana Menteri berkata demikian sewaktu berucap merasmikan Majlis Simposium bertemakan “The Path Towards Greater Prosperity for Malaysia” di Pusat Konvensyen Antarabanga Putrajaya (PICC), pada Rabu.

Simposium tersebut merupakan anjuran bersama Pusat Penyelidikan Kesejahteraan Sosial (SWRC), Universiti Malaya dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), yang menghimpunkan ahli akademik, wakil Kerajaan, dan ilmuan untuk membincangkan usaha bagi memperkukuh sistem persaraan negara.

Simposium itu bertujuan untuk mencetuskan perbincangan dan input awal untuk menambah baik sosial rangka sosial perlindungan pekerjaan, dan membiayai faedah perlindungan sosial melalui sistem cukai yang lebih berkesan.

Dalam pada itu Perdana Menteri berkata, Kerajaan melalui Belanjawan 2024 lebih memberi fokus kepada usaha mensasarkan semula subsidi, yang sebelum ini hampir 50 peratus darinya dinikmati oleh golongan 10 peratus terkaya di negara ini.

“Jumlah subsidi kini sudah mencecah RM81 bilion. Jadi isunya bukan semata-mata pencukaian, tetapi sudah tentu untuk merasionalisasikan subsidi. Jika berjaya kurangkan perbelanjaan subsidi RM20 bilion atau RM15 bilion, dan kemudian kita boleh melihat kaedah pencukaian yang lebih baik untuk kemampanan pendapatan.

“Saya bukan anti orang kaya, saya memang mahu orang menjadi lebih kaya, supaya dapat dikenakan cukai,” katanya secara berseloroh, sambil menyambung – “Kita sedang memberi subsidi kepada golongan kaya, daripada elektrik hingga ke petrol. Jadi Kerajaan memutuskan untuk menghentikan subsidi (secara menyeluruh) kepada mereka dan warga asing, tanpa memberi impak kepada 90 peratus rakyat (berpendapatan rendah dan menengah)”.

Sehubungan itu, Perdana Menteri berharap agar peserta simposium tersebut, sama ada ahli akademik, ahli Parlimen, atau wakil Kerajaan, dapat memberi pandangan dan berbincang tentang kaedah mencapai tadbir urus yang lebih baik.

Terdahulu, Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya, Tan Sri Zainah Anwar dalam ucapan pembukaannya berkata, simposium tersebut memperlihatkan perwakilan daripada spektrum pemegang taruh yang pelbagai, yang sama ada secara langsung atau tidak langsung, membentuk polisi berkenaan kesejahteraan dan kemajuan negara.

“SWRC selaku pusat penyelidikan pelbagai disiplin yang tertumpu pada penyelidikan dalam perlindungan sosial, penuaan dan kesejahteraan sosial, komited dalam misinya untuk menyediakan cadangan dasar berasaskan bukti dan perundingan untuk menggalakkan pembangunan ekonomi dan perpaduan sosial.

“Simposium ini berfungsi sebagai platform penting untuk perkongsian pengetahuan dan pandangan mengenai isu dan cabaran kritikal yang berkaitan dengan merasionalkan subsidi, melaksanakan pembaharuan cukai, dan meningkatkan sistem perlindungan sosial kita,” katanya lagi.