KUCHING:Kerajaan Sarawak membenarkan tadika dan taska di daerah Kuching yang kini berada dalam zon merah COVID-19 dibuka. Bagaimanapun ia perlu terlebih dahulu mendapat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.

Jelas Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak Sarawak (KWKPK), Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata pihak operator boleh mengemukakan permohonan kepada KWKPK untuk dipertimbang dan diluluskan JPBN Sarawak.

“Kita akan berbincang kes tersebut dalam mesyuarat JPBN.

"Bagi tadika dan taska di bahagian lain, mereka boleh beroperasi berkuat kuasa serta merta," katanya pada sidang media di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.

Fatimah menjelaskan keputusan yang dibuat juga melihat kepada pelbagai penyelesaian awal yang lebih selamat dan memudahkan pihak terlibat.

Ini termasuk amalan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang lebih ketat untuk dipatuhi operator, penjaga serta kanak-kanak.

“Kalau bilangan kanak kanak di tadika itu besar maka perlulah dibuat penjadualan siapa yang boleh datang hari ini, siapa yang boleh datang hari esok waktu petang dan sebagainya.

“Jadi ada pelbagai cara untuk memastikan penjarakkan fizikal itu sentiasa dipatuhi dan dari segi nisbah guru kepada kanak-kanak,”tambahnya lagi.


Operator dan ibu bapa juga diberi pilihan untuk mengadakan proses pembelajaran dan pengajaran atas talian dengan komitmen yang baik daripada kedua-dua belah pihak.

Untuk rekod, terdapat 746 taska dan tadika swasta yang beroperasi di Sarawak dengan 2,903 tenaga pengajar dan 32,572 murid.