Tahanan di DTI merusuh tidak dapat balik raya

Junaidi Ladjana
April 25, 2021 08:49 MYT
Sekumpulan tahanan Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal dilaporkan merusuh gara-gara tidak berpuas hati tidak dibenarkan balik raya. - Foto ihsan PDRM
KOTA KINABALU: Tidak puas hati kerana tidak dibenarkan pulang menjelang Hari Raya Aidilfitri, sekumpulan tahanan Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal, di sini, dilaporkan merusuh sehingga terpaksa dikawal pasukan polis.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, keadaan bagaimanapun berjaya dikawal selepas pasukan Unit Tempur Ringan (LSF), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu dikerah ke lokasi kejadian.
Katanya, susulan kejadian yang berlaku pagi tadi itu, tiada sebarang kecederaan mahupun tahanan yang berjaya meloloskan diri dilaporkan.
"Keadaan terkawal dan tiada tahanan yang melarikan diri.
"Kita cuma dimaklumkan terdapat beberapa kerosakan dalam kejadian berkenaan yang hanya membabitkan sebuah blok," katanya ketika dihubungi, hari ini.
Hazani berkata, siasatan awal mendapati, kebanyakan tahanan dipercayai tidak berpuas hati kerana tidak dibenarkan pulang menyambut hari raya.
"Sebab pertama tahanan bertindak sedemikian disebabkan mereka tidak dapat balik hari raya.
"Kalau ingat, (pada) 2015 lalu, dua hari sebelum hari raya, mereka merusuh juga sebab nak balik raya.
"Masalah sekarang ini, penghantaran balik juga sedikit terganggu disebabkan pandemik COVID-19," katanya lagi.
#Tahanan #merusuh #DTI #Depoh Tahanan Imigresen #hari raya #Polis Sabah