Tahanan Imigresen lolos: 432 tahanan ditemui, polis buru baki 96 lagi

Abd Hadi Che Awang
April 22, 2022 04:10 MYT
Wan Hassan berkata tahanan yang ditahan semula dan berada di Depot berkenaan adalah sebanyak 23 individu. - Foto BERNAMA
ALOR SETAR: Memasuki hari ketiga proses pencarian tahanan yang lolos dari Depot Imigresen Sementara Relau, pihak polis terus mempergiat usaha untuk mencari baki 96 lagi tahanan yang masih lagi bebas.
Ketua Polis Kedah, Komisioner Wan Hassan Wan Ahmad memaklumkan kesemua mereka adalah terdiri daripada 96 lelaki, sembilan wanita, empat kanak-kanak lelaki dan tujuh kanak-kanak perempuan.
Tambah beliau, ini menjadikan jumlah keseluruhan tahanan yang dijumpai semula adalah sebanyak 432 individu termasuk enam yang disahkan maut pada Rabu.
"Pembahagiannya adalah 218 lelaki dewasa, 88 wanita dewasa, 65 kanak-kanak lelaki dan 61 kanak-kanak perempuan," katanya.
Dalam perkembangan sama, Wan Hassan berkata tahanan yang ditahan semula dan berada di Depot berkenaan adalah sebanyak 23 individu.
Pada Khamis, beliau memaklumkan bahawa pihaknya masih memburu baki 130 lagi tahanan yang masih bebas selepas mereka mengambil keputusan untuk melarikan diri dari Depot Imigresen Sementara Relau sekitar jam 4.30 pagi pada Rabu.
Tambahnya, 448 tahanan yang tidak melarikan diri dan telah ditemui semula pula telah dipindahkan ke empat depot tahanan lain termasuk Depot Semenyih, Depot Langkap, Depot Machap Umboo dan Depot Bukit Jalil.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Datuk G. Suresh Kumar pula menyatakan bahawa polis telah mengenalpasti seorang lelaki etnik Rohingya berusia 30-an yang dipercayai menjadi dalang kepada insiden rusuhan yang berlaku di Depot Imigresen Sementara Relau pada Rabu.
Beliau menyatakan rusuhan berkenaan berlaku sebelum kejadian 528 tahanan melarikan diri atau lolos dari depot berkenaan.
Tambahnya, lelaki berkenaan juga disahkan bebas ketika ini dan proses pengesanan dan pencariannya serta baki tahanan lain masih diteruskan pihak berkuasa.
#tahanan imigresen #Lolos #Wan Hassan Wan Ahmad #pencarian