[TERKINI] Krisis Iran-Israel Meluas | Serangan AS ke Tapak Nuklear Cetus Kebimbangan Global – Ini Apa yang Kita Tahu Setakat Ini
MALAYSIA

Tahanan kes rogol lolos berjaya ditangkap semula di Sibu

Bernama 23/06/2025 | 10:41 MYT
Seorang tahanan warga Indonesia yang meloloskan diri dari lokap Balai Polis Sentral Sibu pada kira-kira pukul 4 petang Sabtu lepas telah berjaya ditangkap semula awal hari ini. - Foto hiasan
SIBU: Seorang tahanan warga Indonesia yang meloloskan diri dari lokap Balai Polis Sentral Sibu pada kira-kira pukul 4 petang Sabtu lepas telah berjaya ditangkap semula awal hari ini.
Ketua Polis Daerah Sibu ACP Zulkipli Suhaili berkata suspek kes rogol berusia 25 tahun itu ditangkap di Lorong Terap, lebih kurang 1.4 kilometer dari balai tersebut pada pukul 2.26 pagi hasil maklumat orang awam.
"Ketika ditahan, suspek masih bergari dan memakai pakaian lokap," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Zulkipli, permohonan reman terhadap suspek akan dibuat hari ini bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 223/224 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Semakan mendapati Seksyen 223 diperuntukkan terhadap pegawai yang cuai sehingga menyebabkan tahanan melarikan diri, manakala Seksyen 224 adalah untuk tahanan yang melarikan diri daripada jagaan yang sah.
Zulkipli turut merakamkan penghargaan kepada orang awam atas kerjasama yang diberikan sehingga membolehkan suspek diberkas semula.
"Polis menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berhubung kejadian ini yang boleh menjejaskan siasatan," katanya.
-- BERNAMA
#tahanan warga Indonesia #kes rogol #Lolos #Balai Polis Sentral Sibu #ditangkap semula