Tahanan reman lima anggota polis MPV disambung tiga hari

Bernama
Februari 6, 2024 14:39 MYT
Menurut Datuk Khaw Kok Chin, reman terhadap mereka sepatutnya tamat hari ini namun pihak polis memohon ia disambung bagi melengkapkan siasatan. - Gambar fail
GEORGE TOWN: Tahanan reman lima anggota polis Unit Pasukan Peronda (MPV) Pulau Pinang bagi membantu siasatan berhubung kes pemerasan membabitkan seorang pekerja kilang membabitkan kerugian RM4,500 dalam insiden di Permatang Tinggi, Bukit Mertajam di sini disambung tiga hari lagi.
Ketua Polis Pulau Pinang Datuk Khaw Kok Chin berkata kesemua suspek berusia lingkungan 24 hingga 48 tahun dan reman mereka sepatutnya tamat hari ini namun pihaknya memohon ia disambung bagi melengkapkan siasatan.
"Kesemua mereka yang berpangkat Lans Koperal hingga Sarjan itu disambung reman hingga 9 Feb ini bagi membantu siasatan kes tersebut, kami sedang melengkapkan kertas siasatan itu.
"Seterusnya kertas siasatan akan diserah kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut," katanya kepada Bernama.
Beliau berkata kelima-lima anggota polis bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Tengah dan kes disiasat di bawah Seksyen 384 Kanun Keseksaan.
Khaw juga berkata pihaknya sedang memperinci langkah penukaran pegawai dan anggota yang sudah lama bertugas di sesuatu unit ke bahagian lain bagi mengelak daripada berlaku aktiviti rasuah serta pemerasan.
-- BERNAMA
#Tahanan reman #Polis MPV #pemerasan #pekerja kilang #Khaw Kok Chin