KUALA LUMPUR: Hari pertama kawalan harga minyak masak di seluruh negara menyaksikan tahap pematuhan hampir seratus peratus, kata Pengerusi Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi, Tan Sri Annuar Musa.

Dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini, Annuar yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata, ada peniaga yang sanggup menurunkan harga lebih rendah daripada harga kawalan.

Beliau berkata, ia merupakan satu perkembangan yang memberangsangkan, dan Kerajaan ingin menzahirkan penghargaan kepada peniaga yang bukan saja mematuhi had harga, tetapi juga berani menjual pada kadar jauh lebih rendah.

"Kita puas hati semua premis yang dikunjungi penguat kuasa menunjukkan pematuhan hampir 100 peratus terhadap had harga maksima yang telah ditetapkan.

“Malah terdapat 17 peratus daripada keseluruhan premis kita periksa sehingga tengah hari tadi, menjual lebih rendah daripada harga maksima yang telah kita tetapkan,” katanya lagi.

Berdasarkan pemantauan, Annuar berkata, harga minyak masak botol 1kg dijual pada harga RM6.70  hingga RM7.70; botol 2kg antara RM12.70 hingga RM14.70; botol 3kg antara RM21.30 hingga RM21.70; dan bagi botol 5kg dijual antara RM28.90 ke RM34.70.

Beliau berharap harga tersebut terus berkekalan sehingga Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengumumkan harga baharu berdasarkan harga minyak kelapa sawit mentah (CPO), pada 1 September ini.

Dalam pada itu Annuar berkata, Pasukan Khas Jihad Tangani Inflasi komited untuk memastikan tindakan yang tepat untuk mengekalkan tahap inflasi Malaysia antara yang terendah dan terkawal di rantau ini.

“Kalau kita perhatikan dalam semua kenyataan dan pengumuman berhubung data inflasi di seluruh dunia, kita harus buat persiapan kerana ternyata sekali inflasi sedang meledak di seluruh dunia termasuk di rantau Asia, dan juga negara maju di Eropah,

“Tetapi kita yakin langkah proaktif kerajaan serta sikap untuk mengurus, atau micro manage setiap aspek kenaikan harga yang diputuskan Jemaah Menteri, kita dapat terus mengawal kesan kenaikan harga dengan cara yang telah kita lakukan sebelum ini,” tambahnya.