MALAYSIA
Tahfiz pintu pemulihan spiritual buat prospek di Penjara Kajang
Muhammad Taufiq (kanan) ketika sesi bersama penghuni penjara, Sharil (bukan nama sebenar), 38 (kiri) di Pusat Pemantapan Kerohanian (PPIC) Penjara Kajang baru-baru ini. - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Alunan merdu bacaan ayat suci al-Quran mengisi ruang sebuah kelas kecil di Pusat Pemantapan Kerohanian (PPIC) Penjara Kajang, dekat sini menandakan kesungguhan para prospek (banduan) yang sedang mendalami kitab suci itu.
Di sebalik tembok tinggi dan jeriji besi, di sinilah cahaya baharu mula menyinari sebahagian penghuni penjara menerusi Program Tahfiz Khairul Ummah, satu inisiatif pemulihan berteraskan pendekatan spiritual yang disokong kerajaan bagi membantu prospek kembali ke pangkal jalan.
Ketua Penyelaras Tahfiz Khairul Ummah, Muhammad Taufiq Norazimi berkata, program yang diperkenalkan pada November 2023 itu kini disertai 26 prospek termasuk seorang yang sudah menamatkan hafazan 30 juzuk sebelum dibebaskan.
"Mereka dipilih berdasarkan minat dan kemampuan. Daripada 50 calon ditemu bual, hanya 20 yang diterima. Kami lihat mereka benar-benar mahu berubah," katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Muhammad Taufiq berkata, program tahfiz dijalankan setiap Isnin hingga Khamis bermula 9 pagi, merangkumi hafazan dan kelas fardu ain manakala hari Jumaat diisi dengan bacaan surah al-Kahfi serta latihan kemahiran Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) seperti menjahit, komputer dan menggunting rambut.
"Apabila mereka dekat dengan al-Quran, hati menjadi lebih lembut dan takut untuk melakukan kesalahan. Ramai di antara mereka bukan jahat, cuma tersalah langkah. Program ini membantu mereka bertemu semula arah hidup," katanya.
Bagi Jamil (bukan nama sebenar), 38, yang sedang menjalani hukuman penjara dan baru tiga bulan mengikuti program tahfiz, kehidupan di sebalik tembok memberinya ruang untuk mengenali erti Islam yang sebenar.
"Saya pernah cuba menghafal di luar tapi gagal. Di sini, jiwa lebih tenang. Tiada gangguan, tiada maksiat depan mata. Saya dapat fokus pada hafazan dan memperbaiki diri," katanya yang kini sudah menghafaz tiga juzuk al-Quran.
Jamil yang sebelum ini mempunyai kerjaya dalam bidang profesional berhasrat untuk terus mendalami al-Quran serta menjadi imam atau tenaga pengajar selepas dibebaskan kelak.
"Saya tidak menganggap penjara sebagai hukuman semata-mata, tetapi ia adalah didikan daripada Allah. Ini peluang untuk saya kembali kepada agama dan menebus kesilapan lalu," katanya dengan tenang.
Sementara itu, Azhar (bukan nama sebenar), 52, yang bakal menamatkan hukuman penjara tidak lama lagi setelah menerima pengampunan daripada hukuman mati pada 2015, mengakui kehidupannya berubah selepas mengikuti program keagamaan dan kemahiran di penjara.
"Dulu saya hanya Islam pada nama. Di dalam penjara, saya belajar Tafaqquh Fiddin selama lima tahun, kemudian tahfiz dan bengkel kemahiran. Di sinilah saya mula faham erti hidup berlandaskan al-Quran dan sunah," katanya.
Azhar kini memiliki Sijil Tafaqquh Fiddin Tahap 2 dan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 2 dalam bidang menjahit dan telah menghafal antaranya juzuk 30, surah al-Baqarah, al-Insan dan al-Waqi'ah.
"Ilmu ini tidak boleh dicuri. Ilmu yang lindungi kita. Saya mahu menggunakan kemahiran menjahit dan agama untuk mendidik cucu serta masyarakat apabila saya bebas nanti," katanya yang sudah mempunyai dua cucu.
Beliau turut menyifatkan latihan kawad kaki dan disiplin dalam penjara sebagai simbol latihan jiwa untuk para prospek belajar mentaati arahan dan mendengar nasihat yang merupakan asas kepada perubahan diri.
Program Tahfiz Khairul Ummah di bawah kendalian Jabatan Penjara Malaysia bukan sekadar menekankan hafazan al-Quran, tetapi turut membentuk keseimbangan antara ukhrawi dan duniawi melalui latihan vokasional dan pendidikan kerohanian.
Pendekatan bersepadu itu selari dengan matlamat kerajaan untuk memperkukuh pemulihan spiritual prospek, sekali gus menyediakan peluang kedua kepada mereka agar dapat kembali sebagai anggota masyarakat yang berakhlak dan produktif.
Bagi para prospek di Penjara Kajang, sepotong ayat suci yang diulang-ulang setiap hari bukan sekadar hafalan, sebaliknya ia adalah janji kepada perubahan, pengakuan taubat dan permulaan kepada sebuah kehidupan baharu.
Kepada masyarakat, hapuskanlah stigma terhadap bekas banduan. Mereka sepatutnya diterima sebagai orang baharu selepas menjalani pemulihan akhlak selama bertahun-tahun di sebalik tirai besi.
-- BERNAMA