Tahfiz terbakar: Kesemua 23 mangsa sudah dikenal pasti

Bernama
September 15, 2017 09:18 MYT
NOOR HISHAM: Kami berharap dan berdoa tragedi ini adalah terakhir seperti ini dan tindakan pencegahan perlu dilaksanakan dan dipatuhi semua pihak. - Gambar fail/Astro AWANI/Shahir Omar
Identiti kesemua 23 mangsa tragedi kebakaran di Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di sini semalam telah dikenal pasti menerusi ujian asid deoksiribonukleik (DNA, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Beliau berkata proses pengecaman terhadap mangsa selesai dijalankan di Institut Perubatan Forensik Negara (IPFN) Hospital Kuala Lumpur di sini.
Kataya, pihaknya akan mengatur pertemuan dan menghubungi ibu bapa dan waris mangsa untuk memaklumkan perkembangan itu secepat mungkin.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Ketua Jabatan IPFN, Dr Mohd Shah Mahmud dan pasukannya kerana membantu mempercepatkan proses pengurusan tragedi nasional ini.
"Kami berharap dan berdoa tragedi ini adalah terakhir seperti ini dan tindakan pencegahan perlu dilaksanakan dan dipatuhi semua pihak nanti,"katanya dalam kenyataan menerusi akaun Facebook rasminya, hari ini.
Dalam kebakaran 5.10 pagi semalam, seramai 21 pelajar dan dua guru yang bertindak sebagai warden maut dalam kebakaran di dalam banglo tiga tingkat itu di Jalan Keramat Hujung, Datuk Keramat di sini, manakala enam lagi cedera.
-- BERNAMA
#HKL #Ketua Pengarah Kesihatan #Noor Hisham Abdullah #Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah #tahfiz #terbakar #ujian DNA