NATIONAL
Tahniah calon SPM 2024! Ini senarai universiti pilihan majikan Malaysia 2025
Majlis pelancaran yang berlangsung di EQ Kuala Lumpur itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud. -Gambar Talentbank
KUALA LUMPUR: Talentbank, peneraju kebolehpasaran graduan di Malaysia, mengumumkan senarai Employers’ Choice of University 2025, menampilkan universiti-universiti yang paling kerap diambil bekerja oleh syarikat ternama tanah air.
Ringkasan AI
- Talentbank mengumumkan senarai Employers Choice of University 2025 berdasarkan data pengambilan pekerja sebenar dari majikan utama di Malaysia.
- Senarai ini menampilkan universiti awam dan swasta yang sering direkrut oleh majikan, termasuk Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Sunway University, dan Universiti Tunku Abdul Rahman.
- Talentbank juga memperkenalkan Career Playbook, panduan kerjaya praktikal untuk pelajar sekolah, mahasiswa, dan graduan muda, bersempena ulang tahun ke-15 syarikat itu.
Majlis pelancaran yang berlangsung di EQ Kuala Lumpur itu disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts Mustapha Sakmud, sekali gus mengukuhkan komitmen kerajaan untuk menyelaraskan pendidikan tinggi dengan keperluan industri semasa.
Tidak seperti penarafan akademik tradisional, senarai ini dibentuk sepenuhnya berdasarkan data pengambilan pekerja sebenar yang dikumpul daripada majikan-majikan utama di Malaysia.
Antara syarikat yang terlibat dalam penilaian termasuk Maybank, CelcomDigi, Nestlé, Hartalega, PwC in Malaysia, PETRONAS, Public Bank Berhad, Sunway, dan AIA Bhd menjadikan senarai ini sebagai rujukan penting bagi pelajar dan ibu bapa yang ingin membuat pilihan universiti berdasarkan kebolehpasaran graduan.

Senarai ini dibangunkan melalui Talentbank Graduate Employability Index (GE Index), yang menilai tiga aspek utama iaitu universiti yang sering direkrut oleh majikan, jumlah graduan yang diambil bekerja, dan kadar pengambilan semula berdasarkan prestasi graduan.
Antara universiti awam yang terus menjadi pilihan majikan termasuk Universiti Malaya (UM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi MARA (UiTM), dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Sementara itu, Sunway University kekal di tangga teratas bagi universiti swasta buat tahun keempat berturut-turut, khususnya dalam bidang perniagaan, perakaunan, sains komputer, komunikasi, psikologi, hospitaliti dan seni kulinari.

Turut mendapat pengiktirafan tinggi ialah Universiti Tunku Abdul Rahman (UTAR), yang cemerlang dalam bidang kejuruteraan, aktuari, sistem maklumat, dan kewangan.
Majikan turut menamakan Universiti Teknologi PETRONAS, Asia Pacific University (APU), Heriot-Watt University Malaysia, dan International Medical University (IMU) antara institusi pilihan utama yang melahirkan graduan berkemahiran tinggi dan bersedia untuk pasaran kerja.
Bersempena ulang tahun ke-15 Talentbank, syarikat itu turut memperkenalkan Career Playbook, sebuah panduan kerjaya praktikal buat pelajar sekolah, mahasiswa dan graduan muda.
Ia merangkumi panduan memilih universiti, mengenal pasti industri berpotensi tinggi, membina kemahiran kebolehpasaran, serta strategi permohonan kerja.
Ketua Pegawai Eksekutif Talentbank, Ben Ho berkata, usaha ini bertujuan membantu pelajar dan ibu bapa membuat keputusan pendidikan yang selaras dengan keperluan sebenar pasaran kerja.
“Kami melabur masa dan kos untuk menjalankan kajian ini supaya lepasan sekolah dan ibu bapa boleh menjadikannya panduan dalam memilih universiti yang mampu mempercepatkan peluang mendapat pekerjaan,” katanya.
Senarai penuh Employers’ Choice of University 2025 boleh diakses di talentbankgroup.com/eca manakala pendaftaran awal untuk Career Playbook dibuka di https://www.careerplaybook.io/.
Untuk melihat senarai penuh universiti dan syarikat yang terlibat dalam penilaian, boleh merujuk poster rasmi di laman web poster pemenang ECA 2025.