Tahniah Damok! Muhyiddin bangga Syarifuddin gegar Litar Catalunya

Nursyazwani Saiful Sham
Jun 14, 2021 03:36 MYT
Pada Ahad, Syarifuddin menamatkan perlumbaan dengan kemenangan bergaya apabila mencatatkan masa 29 minit 32.553 saat dalam 16 pusingan sejauh 74.5 kilometer. - Astro ARENA
KUALA LUMPUR: Tan Sri Muhyiddin Yassin mengucapakan tahniah atas pencapaian pelumba muda Syarifuddin Azman yang muncul juara dalam perlumbaan pertama Moto3 Junior World Championship FIM CEV Repsol pada Ahad.
Menerusi perkongsian di Facebook miliknya, Perdana Menteri menyatakan cukup berbangga dan gembira dengan perkhabaran tersebut.
"Syabas Anak Muda! Tahniah Malaysia!
"Saya cukup berbangga dan gembira apabila dimaklumkan anak muda Malaysia, Syarifuddin Azman berjaya menggegar Litar Catalunya apabila muncul juara saingan CEV Moto3 Remaja Dunia di Barcelona, Sepanyol, semalam.
"Sudah pasti hanya keazaman, ketekunan, kesungguhan dan keberanian sahaja yang mampu meletakkan seorang pelumba untuk bergelar juara.
"Tahniah Syarifuddin dan seluruh ahli pasukan atas aksi dan kejayaan yang membanggakan negara ini," ujarnya.
Sumber Facebook ts.muhyiddin
Muhyiddin turut menasihatkan agar Syarifuddin, lebih dikenali sebagai Damok, untuk meneruskan usaha agar mencapai kejayaan lebih gemilang pada masa depan.
BACA: Damok juara Moto3 FIM CEV Sepanyol
Terdahulu, pelumba berusia 19 tahun itu menamatkan perlumbaan dengan kemenangan bergaya apabila mencatatkan masa 29 minit 32.553 saat dalam 16 pusingan sejauh 74.5 kilometer.
Perlumbaan yang berlangsung di Litar Catalunya, Barcelona itu sekali gus menyaksikan lagu 'Negaraku' berkumandang dalam kemenangan yang dihadiahkan oleh Syarifuddin.
#Muhyiddin Yassin #Perdana Menteri #Moto3 #Damok #Syarifuddin Azman #Litar Catalunya #Bangga #Gegar #litar #anak muda #barcelona #sepanyol