[TERKINI] Senarai Lengkap Kabinet Baharu MADANI – Siapa Pegang Portfolio Utama?
MALAYSIA

'Tahniah Marhamah Rosli, banyak jasa kepada saya' - Ibu Zara Qairina

Sinar Harian 17/12/2025 | 00:00 MYT
Marhamah menandatangani lafaz ikrar selepas mengangkat sumpah sebagai Senator di hadapan Yang Dipertua Dewan Negara Datuk Awang Bemee Awang Ali Basah, 16 Dis 2025. --fotoBERNAMA
KOTA KINABALU: Ibu kepada Zara Qairina Mahathir, yang selama ini mendapat sokongan padu daripada aktivis Ustazah Marhamah Rosli, mengucapkan tahniah kepada tokoh berkenaan atas pelantikan beliau sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Noraidah Lamat, 45, menzahirkan penghargaan itu menerusi hantaran di Facebook, sambil mengimbas jasa dan sokongan yang diberikan Marhamah sepanjang tempoh sukar yang dihadapinya.

"Alhamdulillah. Tahniah puan, banyak jasa puan ini kepada saya. Hanya ALLAH SWT yang mampu membalasnya," katanya sambil berkongsi artikel pelantikan Marhamah yang baru diumum membarisi Kabinet Kerajaan Perpaduan pada Selasa.

Dalam masa sama, Noraidah turut menegaskan bahawa perjuangan menuntut keadilan buat anaknya masih diteruskan, dengan laungan #JusticeForZara yang menurutnya terus bergema dan tidak pernah terpadam.

Sebelum itu, Marhamah antara individu terawal membantu memberi sokongan kepada Noraidah selepas anaknya, Zara Qairina yang bersekolah di sebuah sekolah menengah agama di Papar disahkan meninggal dunia pada 17 Julai lalu.

Zara Qairina yang juga pelajar Tingkatan Satu sebelum itu ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama sekolah tersebut. - Sinar Harian






#Zara Qairina Mahathir #Marhamah Rosli #Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri #Senator Dewan Negara #JusticeForZara