Tahun Baharu Cina: PLUS aktifkan 32 lokasi Smart Lane

Nik Airina (tengah) hadir pada sidang media selepas meninjau Restoran Jejantas Sungai Buloh pada Isnin. - Foto Astro AWANI
SUNGAI BULOH: PLUS Malaysia Berhad (PLUS) akan mengaktifkan sebanyak 32 lokasi Smart Lane di sepanjang Lebuhraya Utara-Selatan sebagai langkah proaktif melancarkan aliran trafik sempena sambutan Tahun Baharu Cina tahun ini.
Pengarah Urusannya, Datuk Nik Airina Nik Jaffar berkata, penambahan itu merupakan peningkatan berbanding tahun sebelumnya dan melibatkan laluan dari wilayah utara hingga selatan bagi menampung jangkaan lonjakan jumlah kenderaan semasa tempoh puncak perayaan.
“Bagi Tahun Baharu Cina kali ini, kita telah menambah Smart Lane kepada 32 lokasi dari utara ke selatan. Namun pengguna dinasihatkan supaya memandu dengan berhemah kerana Smart Lane menggunakan bahu jalan dan bukan bertujuan untuk pemanduan laju, sebaliknya bagi melegakan kesesakan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas meninjau Restoran Jejantas Sungai Buloh di sini pada Isnin.
Beliau menjelaskan, Smart Lane hanya boleh digunakan apabila indikator khas dipaparkan, termasuk lampu berkelip hijau di lokasi terlibat yang menandakan laluan tersebut dibuka kepada pengguna.
“Apabila Smart Lane dibuka, kapasiti jalan meningkat tetapi kelajuannya perlu dikurangkan. Ia bukan seperti lorong biasa kerana ruang lebih sempit, jadi pemandu perlu lebih berhati-hati,” katanya lagi.
Menurut Nik Airina, daripada keseluruhan 32 lokasi Smart Lane yang diaktifkan, sebanyak 19 terletak di wilayah tengah, lima di wilayah utara dan lapan di wilayah selatan.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi PLUS, Datuk Zakaria Ahmad Zabidi berkata, Smart Lane akan diaktifkan secara situasi berdasarkan keadaan trafik, khususnya ketika waktu puncak pagi dan petang.
“Apabila trafik semakin padat, pembukaan Smart Lane dapat meningkatkan kapasiti jalan sehingga sekitar 25 hingga 30 peratus, bergantung kepada lokasi. Ia adalah solusi terakhir yang digunakan apabila kesesakan mencapai tahap tertentu,” jelasnya.
Beliau berkata, pembukaan dan penutupan Smart Lane bergantung sepenuhnya kepada keadaan trafik semasa, dengan papan tanda dan lampu hijau dipasang di setiap peringkat bagi memaklumkan status operasi kepada pengguna.
“Sekiranya trafik kembali lancar, Smart Lane akan ditutup semula. Langkah ini diambil bagi memastikan keselamatan pengguna sentiasa terpelihara,” katanya.
PLUS menasihatkan semua pengguna lebuh raya supaya sentiasa mematuhi papan tanda, memandu secara berhemah dan mengikuti arahan petugas lebuh raya demi memastikan perjalanan yang lebih selamat dan lancar sepanjang musim perayaan.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami


