Taib Mahmud dalam fasa pemulihan, tak perlu lantik pemangku

Bernama
Ogos 1, 2023 13:05 MYT
Kerajaan negeri akan sentiasa dimaklumkan tentang status kesihatan Abdul Taib dan tindakan selanjutnya akan berpandukan Undang-Undang Tubuh Negeri serta kepentingan Sarawak. - Gambar fail
KUCHING: Yang Dipertua Negeri Sarawak Tun Abdul Taib Mahmud jatuh sakit semasa berada di luar negara dan kini dalam fasa pemulihan.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Undang-Undang, Perjanjian Malaysia 1963 dan Hubungan Negeri-Persekutuan) Datuk Sharifah Hasidah Sayeed Aman Ghazali berkata keadaan semasa tidak memerlukan pelantikan pemangku Yang Dipertua Negeri.
Beliau berkata walaupun tidak berada di dalam negeri, Abdul Taib sentiasa berkomunikasi dengan Kerajaan Negeri Sarawak dan dapat melaksanakan tugas rasmi.
"Kerajaan negeri akan sentiasa dimaklumkan tentang status kesihatan beliau dan tindakan selanjutnya akan berpandukan Undang-Undang Tubuh Negeri serta kepentingan Sarawak," menurutnya dalam kenyataan di sini hari ini.
-- BERNAMA
#Abdul Taib Mahmud #fasa pemulihan #urusan kerajaan negeri #Sarawak