NATIONAL
Tak adil jika gred A, A- dalam SPM dianggap 'tidak cukup cemerlang' - Senator Sivarraajh
Senator Datuk Sivarraajh Chandran. - Foto Facebook
SHAH ALAM: Sempena sambutan Hari Guru yang bakal disambut esok, seorang Ahli Dewan Negara mengkritik kriteria ditetapkan Kementerian Pendidikan (KPM) dalam menentukan bahawa gred A dan A- dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dianggap sebagai 'tidak cukup cemerlang' untuk kemasukan automatik ke program matrikulasi kerajaan.
Ahli Dewan Negara, Senator Datuk C Sivarraajh berkata, perkara berkenaan adalah tidak adil kepada pelajar cemerlang.
“Ini bermakna pelajar yang memperoleh sembilan A atau 10A termasuk gred A-, tidak lagi dianggap sebagai pelajar cemerlang bagi tujuan kemasukan automatik ke matrikulasi.
"Kita perlu tanya diri kita, adakah kita mahu mengiktiraf kecemerlangan pelajar atau hanya mahu memenuhi kuota tertentu?
“Agak janggal apabila pelajar cemerlang dipaksa membuat rayuan untuk masuk ke program matrikulasi, sedangkan mereka sudah membuktikan keupayaan dan memiliki keputusan yang baik,” katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Dalam pada itu, Sivarraajh turut menyelar Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek yang menurutnya lebih sibuk mempertahankan ketetapan tidak munasabah berbanding mendengar suara rakyat.
"Kalau kerajaan benar-benar serius mahu melahirkan generasi berkualiti, mengapa pula pintu masa depan ditutup atas alasan birokrasi?. Bagaimana dengan pelajar ambil kurang 10 subjek?" soalnya.
Sivarraajh turut membangkitkan isu pelajar terutamanya kaum bukan bumiputera dan mereka yang belajar di sekolah harian biasa secara lazimnya mengambil sembilan subjek sahaja dalam SPM.
“Ini bukan kelemahan, tetapi berpunca daripada struktur sekolah, faktor persekitaran dan tumpuan kepada kualiti, bukan kuantiti,” jelasnya.
Menurutnya, ramai dalam kalangan pelajar ini mendapat sembilan A termasuk A dan A, namun tetap tidak layak menerima tawaran automatik kerana tidak mengambil 10 subjek seperti ditetapkan.
Dia turut memetik program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan oleh Institut Pendidikan Guru Malaysia (IPGM) yang mengiktiraf gred A, A dan A- sebagai cemerlang.
“Sudah tentu definisi kecemerlangan dalam program matrikulasi juga wajar diselaraskan agar tidak berlaku tafsiran berbeza dalam satu sistem pendidikan yang sama,” katanya.
Sehubungan itu, Sivarraajh mengemukakan dua cadangan iaitu petama gred A- dimasukkan dalam kategori cemerlang, sejajar dengan takrifan yang digunakan dalam syarat kemasukan IPGM.
“Penolakan automatik terhadap A- seolah-olah menafikan usaha gigih pelajar yang berada dalam lingkungan pencapaian tinggi,” katanya.
Beliau berkata, cadangan kedua adalah pelajar yang mendapat sekurang-kurangnya sembilan A (gabungan A, A dan A-) juga wajar dipertimbangkan secara automatik untuk kemasukan ke program matrikulasi.
“Ini kerana pelajar tidak diwajibkan mengambil 10 subjek dan ramai pelajar bukan Islam khususnya hanya mengambil sembilan subjek atas kekangan tertentu,” tambahnya.
Berikutan itu, Sivarraajh menegaskan bahawa amalan menghukum pelajar hanya kerana mengambil satu subjek kurang adalah tidak adil dan bertentangan dengan dasar pendidikan progresif.
“Jangan kita hukum pelajar kerana sistem. Sebaliknya bantu mereka berdasarkan potensi yang mereka ada,” katanya. - Sinar Harian