MALAYSIA

Tak boleh lepaskan, ada peranan baharu untuk Tengku Zafrul - PM

Asyraf Malik 01/12/2025 | 04:50 MYT
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengakui rasa sedih untuk meninggalkan MITI, namun yakin kementerian itu akan dikemudi oleh pihak berkebolehan. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tugasan baharu akan diberikan kepada Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz setelah tamat perkhidmatan pada 2 Disember.


Ringkasan AI
  • Datuk Seri Anwar Ibrahim umum Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz akan diberi tugas baharu selepas tamat perkhidmatan pada 2 Disember.
  • Portfolio baru bagi Tengku Zafrul akan diumumkan pada 3 Disember; Anwar pujian peranan Tengku Zafrul dalam membangunkan perdagangan antarabangsa.
  • Tengku Zafrul mengangkat sumpah sebagai Senator pada 2 Disember 2022, tempoh jawatan Senator adalah tiga tahun dan boleh dilanjutkan sehingga dua penggal.


Menurut Anwar, portfolio baharu untuk Tengku Zafrul akan diumumkan pada 3 Disember.

"Dia masih ada tanggungjawab, tak boleh lepaskan begitu sahaja. Dia akan terus kerja yang saya bakal umumkan pada 3 Disember.

"Peranan MITI dan keluarga MITI di bawah pimpinan Tengku Zafrul sangat membanggakan dan nampak kejayaan dicapai, beliau juga mengembangkan jaringan perdagangan antarabangsa," katanya kepada media selepas merasmikan kenderaan elektrik (EV) pertama Perodua, di sini, hari ini.

Untuk rekod, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz mengangkat sumpah sebagai Senator pada 2 Disember 2022.

Mengikut perlembagaan Malaysia, tempoh jawatan seseorang Senator adalah tiga tahun dan boleh dilanjutkan sehingga dua penggal.

Sementara itu, Tengku Zafrul mengakui rasa sedih untuk meninggalkan MITI, namun yakin kementerian itu akan dikemudi oleh pihak berkebolehan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim atas peluang dan amanah yang diberikan untuk menjadi Menteri MITI selama tiga tahun.

"Saya juga mahu menyampaikan penghargaan kepada Ketua Setiausaha dan semua agensi di bawah MITI yang memberikan sokongan padu serta kepercayaan.

"Sebarang tanggungjawab baharu yang diberikan oleh Anwar akan saya bantu, atas kapasiti apa itu saya belum tahu, nanti kita nantikan," ujarnya ketika ditemui pemberita.






#Menteri MITI #Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz #Datuk Seri Anwar Ibrahim #peranan baharu dalam Kerajaan #terkini