Kenyataan Ketua Dewan Ulama Pas Pusat, Datuk Harun Taib bahawa kematian pasukan keselamatan menghapuskan pengganas Sulu yang menceroboh Sabah sebagai mati syahid di dunia sahaja dipersoalkan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, kenyataan yang dikeluarkan pemimpin parti Pas itu sebagai bertentangan dengan keputusan yang dibuat Majlis Fatwa Negara.

Tambahnya, Pas hanya mahu mencari bahan politik untuk kepentingan parti semata-mata menerusi kenyataan berkenaan.

“Majlis Fatwa Negara telah mengeluarkan keputusan pada 6 Mac lalu bahawa anggota yang terkorban demi mempertahankan kedaulatan negara sebagai mati syahid”, kata Najib.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menjelaskan, negara menggunakan pendekatan wasatiyah dalam mencari penyelesaian berhubung pencerobohan pengganas Sulu.

Langkah itu bagi memastikan pemimpin negara tidak terburu-buru dalam membuat sebarang keputusan selain usaha mengelak berlaku pertumpahan darah.

Sementara itu, Najib menyifatkan pencerobohan itu sebagai ujian besar kepada rakyat yang mahu melihat sejauh mana mereka mensyukuri nikmat keamanan dan taat setia kepada negara.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Pelancaran Strategi Lautan Biru Kebangsaan, di Politeknik Sultan Idris Shah Sabak Bernam, Selangor.