NATIONAL
'Tak pernah draf surat letak jawatan, tak mahu bertanding hanya tohmahan' - Rafizi jawab Nurul Izzah

Datuk Seri Rafizi Ramli menolak dakwaan pencabarnya Nurul Izzah Anwar bahawa beliau kononnya sudah membuat draf surat letak jawatan sebagai Menteri Ekonomi.
JOHOR BAHRU: Calon yang juga penyandang jawatan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Rafizi Ramli menolak dakwaan pencabarnya Nurul Izzah Anwar bahawa beliau kononnya sudah membuat draf surat letak jawatan sebagai Menteri Ekonomi.
Ringkasan AI
- Rafizi Ramli menolak dakwaan Nurul Izzah bahawa beliau telah menyediakan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Ekonomi dan menegaskan beliau masih menjalankan tugas seperti biasa.
- Rafizi menyatakan bahawa dakwaan beliau tidak mahu mempertahankan jawatan Timbalan Presiden adalah tidak benar. Beliau juga mendakwa wujud gerakan tertentu dalam parti yang mahu menyingkirkannya.
- Rafizi menegaskan pendiriannya menolak politik wang dan budaya mendapatkan jawatan dalam parti, serta menyindir Nurul Izzah kerana bersekongkol dengan kumpulan yang mengamalkan budaya tersebut demi merebut jawatan.
“Saya juga tidak pernah berkemas untuk mengosongkan pejabat. Pejabat saya masih kekal bersepah dengan fail-fail hingga ke hari ini. Selepas bercuti selama empat hari untuk berjumpa dengan akar umbi, saya kekal menjalankan tugas menteri seperti biasa.
“Jika benar Nurul Izzah bimbangkan kekosongan jawatan Timbalan Presiden, Saudara Saifuddin (Datuk Seri Saifuddin Nasution) boleh sahaja bertanding sebagai timbalan. Lebih mudah, Nurul Izzah boleh berhubung dengan saya untuk mengesahkan, seperti mana beliau sering berhubung di tahun-tahun 2021 dan 2022 untuk memujuk saya kembali aktif ke arah persediaan PRU2022,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Terdahulu Nurul Izzah mendakwa, wujud kebimbangan tentang tingkah laku Rafizi yang mengambil cuti lebih awal, dan mengosongkan pejabat di Kementerian Ekonomi.
Selain itu beliau mendedahkan, kepimpinan parti turut dimaklumkan tentang penyediaan surat meletak jawatan, dipercayai oleh Rafizi sendiri.
Nurul Izzah berkata, susulan kemungkinan kekosongan kepimpinan itu menggusarkan ramai pihak terutamanya anggota dan pimpinan parti, timbul seruan agar beliau tampil menawarkan diri sebagai calon Timbalan Presiden, disokong oleh 201 daripada 220 cabang parti.
Dalam pada itu, Rafizi berkata, Anwar telah meminta tiada pertandingan bagi jawatan Timbalan Presiden pada 28 Februari, dan seterusnya meminta beliau untuk kekal bertanding pada 8 April, dan mengulangi permintaan tersebut pada 30 April.
Namun, katanya lagi, situasi mula menjadi pelik sewaktu pemilihan cabang berlangsung, apabila kebanyakan penyokong beliau yang bertanding di peringkat ketua cabang, gagal merebut jawatan tersebut, dan pola keputusan menunjukkan sesuatu yang tidak kena.
Susulan itu Rafizi berkata, beliau memaklumkan kepada Saifuddin wujud gerakan tertentu yang tidak mahu melihat beliau terus kekal di jawatan tersebut.
“(Pada 21 April) Saya maklumkan (kepada Saifuddin) saya terbuka untuk tidak bertanding, sekiranya itu menghentikan kekacauan yang berlaku. Saya nyatakan tidak ada keperluan untuk menggoncang kestabilan parti dan kerajaan hanya untuk mengeluarkan saya.
“Saya juga akan melepaskan jawatan sebagai Menteri Ekonomi kerana prinsipnya mestilah pimpinan parti yang dipilih yang menganggotai Kabinet,” katanya lagi.
Rafizi berkata, Saifuddin kemudian mengaturkan beberapa siri pertemuan antara beliau dan Nurul Izzah, dengan kali terakhir pada 20 Mei lepas di mana bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh itu merayu untuk Rafizi membantunya selepas pemilihan.
“Ada gambaran beliau menawarkan jawatan kepada saya. Saya nyatakan di awal perjumpaan saya tidak berminat dan akan menghormati keputusan pemilihan.
“Alasan yang diberikan ialah kebimbangan beliau dengan barisan kepimpinan baharu yang dilihat bakal menimbulkan masalah kepada YAB Presiden dan parti. Secara jelas, beliau berkongsi kebimbangan mengenai niat mereka, rekod mereka, amalan politik mereka dan kesannya kepada parti,” katanya lagi.
Disebabkan keengganan beliau untuk turut serta, Rafizi berkata, beliau lebih cenderung untuk terus berjuang menolak ‘kumpulan tertentu’ yang lebih ghairah untuk mengamalkan politik wang dan mendapatkan jawatan, sesuatu yang beliau konsisten tegaskan berlawanan dengan prinsip Reformasi PKR.
“Saya konsisten menolak mereka. Atas alasan ini, saya dituduh ego. Setiap kali ada pemilihan, kumpulan ini bekerjasama untuk menolak calon-calon yang tidak mengamalkan perkara yang sama. Saya dituduh memburukkan parti apabila mengkritik amalan-amalan ini secara terbuka.
“Akhirnya, setelah kumpulan-kumpulan ini diyakini akan membarisi kepimpinan baru PKR, saya juga yang dirayu untuk melawan mereka di dalam parti,” tegasnya lagi.
Justeru Rafizi berkata, sekiranya bimbang mengenai amalan kumpulan tersebut, Nurul Izzah sepatutnya tidak bersekongkol dengan mereka demi untuk menang jawatan Timbalan Presiden.
Tambahnya lagi, beliau bersyukur kerana sudah melakukan yang terbaik untuk melepasi ujian kuasa tersebut.
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami