Tak puas hati potong barisan, teksi rempuh tiga kereta di KKIA

Astro Awani
Julai 19, 2021 13:45 MYT
Video kejadian pada kira-kira pukul 1 petang itu menjadi tular di media sosial, hari ini. - Gambar/ Media sosial
KOTA KINABALU: Seorang pemandu teksi berusia 60-an bertindak merempuh tiga kereta lain di Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA) di sini, hari ini, dipercayai kerana marah apabila barisan menunggu penumpang dipotong pemandu teksi lain.
Video kejadian pada kira-kira pukul 1 petang itu menjadi tular di media sosial, lapor Bernama.
Paparan video itu antara lain menunjukkan tindakan lelaki berbaju jingga memandu kereta jenis Proton Iswara merempuh kenderaan lain.
Pemangku Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Supt George Abdul Rakman ketika dihubungi pemberita mengesahkan kejadian berkenaan, dan berkata polis sedang menyiasat bagi mengenal pasti punca kejadian untuk tindakan selanjutnya.
Tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan dalam kejadian itu.
#teksi #KKIA #Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu #pemandu teksi #Tular #viral