MALAYSIA

Tak pulang rumah 2 hari, lelaki dikhuatiri lemas mandi sungai

Bernama 05/09/2025 | 04:45 MYT
Anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar melakukan operasi mencari dan menyelamat.
IPOH: Seorang lelaki dikhuatiri lemas apabila tidak pulang ke rumah selepas memaklumkan ingin mandi di Sungai Baru Labu, Bota Kiri dekat Seri Iskandar, Rabu lepas.


Ringkasan AI
  • Seorang lelaki, Muhammad Nurman Mohd Nor, 27, dikhuatiri lemas selepas tidak pulang ke rumah sejak Rabu lalu, selepas memaklumkan kepada bapanya ingin mandi di Sungai Baru Labu, Bota Kiri; hanya pakaian mangsa ditemukan di lokasi.
  • Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak menerima maklumat kejadian pada 5.46 pagi dan melancarkan operasi mencari dan menyelamat sejauh tiga kilometer dari Jeti JPS Teluk Sena ke Kampung Baru Lambor Kiri.
  • Operasi melibatkan anggota bomba dari Balai Seri Iskandar, polis dan persatuan nelayan bagi mengesan mangsa yang hilang.


Pemangku Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Shazlean Mohd Hanafiah berkata pihaknya menerima maklumat kejadian pada 5.46 pagi tadi.

Mangsa Muhammad Nurman Mohd Nor, 27, dilaporkan tidak pulang ke rumah sejak 2 petang Rabu, selepas memasukkan lembu ke kandang.

"Mangsa memberitahu ingin mandi sungai kepada bapanya, namun hanya baju ditemukan di lokasi," katanya dalam kenyataan hari ini.

Shazlean berkata operasi mencari dan menyelamat oleh anggota Balai Bomba dan Penyelamat Seri Iskandar melibatkan jarak sejauh tiga kilometer dari Jeti Jabatan Pengairan dan Saliran Teluk Sena menghala lokasi mangsa hilang di Kampung Baru Lambor Kiri.

Operasi turut melibatkan polis dan persatuan nelayan.

-- BERNAMA


#kes lemas #Seri Iskandar #Bota Kiri #mandi sungai