MALAYSIA

'Tak sabar pulang ke Muar, banyak kerja menanti' - Syed Saddiq

Sinar Harian 12/12/2025 | 07:45 MYT
Syed Saddiq menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada mahkamah dan percaya kebenaran akan menang walaupun proses mengambil masa. - Gambar/ Shahir Omar/ Astro AWANI
PUTRAJAYA: “Buat masa sekarang, saya tidak sabar untuk pulang ke Muar, banyak kerja menanti, dan saya sentiasa bersemangat untuk terus berkhidmat kepada kawasan saya seperti biasa.”


Ringkasan AI
  • Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menunjukkan kesabaran dan semangat untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat selepas prosiding rayuan pembebasannya dari pertuduhan menyeleweng dana Armada.
  • Syed Saddiq menyerahkan keputusan sepenuhnya kepada mahkamah dan percaya kebenaran akan menang walaupun proses mengambil masa.
  • Beliau menegaskan pentingnya memelihara integriti institusi kehakiman tanpa mengeluarkan kenyataan yang boleh memudaratkan reputasi mahkamah, serta menzahirkan rasa hormat kepada panel hakim yang mendengar kesnya.


Demikian reaksi Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman ketika ditemui pada hari terakhir prosiding rayuan pihak pendakwaan bagi mengetepikan pembebasannya daripada empat pertuduhan menyeleweng dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) di Mahkamah Persekutuan Putrajaya di sini, pada Jumaat.

Beliau yang kelihatan tenang sepanjang prosiding berkata, fokusnya kini adalah untuk kembali menjalankan tanggungjawab sebagai wakil rakyat sambil menyerahkan seluruh keputusan kepada mahkamah.

"Perjalanan kes ini dilalui tanpa sebarang usaha melengahkan proses.

"Terima kasih banyak kepada rakan-rakan media, pertama sekali saya ingin merakamkan penghargaan kepada pasukan peguam saya yang luar biasa," katanya di pekarangan lobi Kompleks Mahkamah Putrajaya di sini pada Jumaat.

Katanya, semua peguam yang mewakilinya telah bekerja tanpa henti demi mencari keadilan.

"Kami tidak pernah memohon penangguhan serta melengahkan proses, pada akhirnya, kami percaya bahawa kebenaran, walaupun mengambil masa, saya yakin tetap akan menang.

"Saya menyerahkan sepenuhnya kepercayaan kepada Allah SWT dan institusi kehakiman itu sendiri, jika bukan hari ini, esok, jika bukan esok, bulan hadapan, tetapi kebenaran akhirnya akan menang," katanya.

Mengulas mengenai perjalanan prosiding hari ini, beliau mengesahkan bahawa keputusan masih belum dibuat.

Ditanya mengenai respons hakim yang meminta pihak pendakwaan meneliti semula pendirian mereka, Syed Saddiq berkata, beliau enggan memberi sebarang tafsiran.

"Sejujurnya, saya tidak mahu meletakkan diri saya dalam posisi hakim, saya benar-benar menghormati badan kehakiman, bukan hanya hakim secara individu, tetapi keseluruhan institusi kehakiman," katanya.

Menurutnya, walaupun beliau pernah melalui fasa sukar selepas disabitkan di Mahkamah Tinggi, beliau tidak pernah sesekali mengeluarkan kenyataan yang boleh menjejaskan reputasi mahkamah.

"Ia bukan tentang individu semata-mata, tetapi mengenai institusi kehakiman yang perlu dipertahankan.

"Itu benteng terakhir pembelaan untuk mereka yang tidak mempunyai suara dan rakyat yang memerlukan perlindungan terakhir," jelasnya.

Syed Saddiq turut menzahirkan rasa hormat kepada panel tiga hakim yang mendengar rayuan tersebut serta seluruh proses mahkamah yang sedang berlangsung.

"Selepas itu, semuanya terserah kepada mahkamah untuk dipertimbangkan," katanya.

Syed Saddiq diwakili Peguam utama, Datuk Hisyam Teh Poh Teik bersama Datuk Ambiga Sreenevasan, Kee Wei Lon, S Devanandan, Low Wei Loke, Lim Wei Jiet, Siti Summaiyah Ahmad Jaafar, Mohammed Khairuzzaman Mohammed Ridha, Ee Gen You dan Nevyn Vinosh Venudran.

Manakala, pendakwaan selaku perayu diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Wan Shaharudin Wan Ladin, Datuk Ahmad Akram Gharib, Farah Ezlin Yusop Khan, Law Chin How, Nurul Qistini Qamarul Abrar, Muhammad Asraf Mohamed Tahir dan Wan Nur Iman Wan Ahmad Afzal.

Prosiding itu berlangsung di hadapan tiga panel hakim dipengerusikan Presiden Mahkamah Rayuan, Datuk Abu Bakar Jais yang bersidang bersama dua hakim, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Prosiding berkenaan adalah berkaitan rayuan pihak pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang sebelum ini membebaskan Syed Saddiq, 33, daripada empat pertuduhan melibatkan dana Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada). - Sinar Harian





#Syed Saddiq #pengubahan wang haram #keputusan mahkamah #dana armada