'Tak sampai seminit suami berpaling, Wani dah tenggelam' - Bapa

Ahli keluarga mengangkat keranda jenazah Nurhazwani Abd Halim (gambar kecil) di Unit Forensik Hospital Kemaman, pada Ahad. - Foto Sinar Harian
KEMAMAN: Bapa kepada pensyarah yang lemas di kolam sebuah resort di sini tidak menyangka percutian keluarga dirancang pada Sabtu menjadi detik terakhir bersama anak keduanya, Nurhazwani Abd Halim, 34.
Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri, Datuk Abd. Halim Jusoh berkata, ketika kejadian, beliau dan isteri sedang melayani cucu di kolam kanak-kanak bersebelahan kolam dewasa yang menjadi lokasi arwah mandi bersama suaminya.
Menurutnya, kejadian berlaku terlalu pantas dan hanya beberapa saat anaknya tiba-tiba tenggelam di dalam air.
"Ketika mandi, anak saya dan menantu berada berdekatan, tetapi kejadian berlaku tidak sampai seminit selepas menantu berpaling ke arah lain, arwah terus tenggelam."Menantu saya segera menyelamatkan anak saya dan membawanya ke tepi kolam sebelum melakukan bantuan pernafasan (CPR) bersama kakitangan resort," katanya ketika ditemui pemberita di Unit Forensik Hospital Kemaman, pada Ahad.
Abdul Halim berkata, anak kedua daripada empat beradik itu kemudian dibawa ke Hospital Kemaman oleh pasukan perubatan namun disahkan meninggal dunia.
"Sejak awal lagi suami dan kakitangan resort sedaya upaya cuba menyelamatkan nyawanya sebelum disusuli pegawai perubatan. Saya berada di sisi anak, memegang erat tangannya sehingga dia disahkan meninggal dunia.
"Mereka sudah berusaha sedaya mungkin, namun ALLAH lebih menyayanginya. Saya reda dengan ketentuan ini," katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Kemaman di sini pada Ahad.
Abdul Halim yang kini menetap di Bangi, Selangor, berkata, meskipun anaknya tinggal berjauhan, Allahyarham seorang anak yang sangat mengambil berat dan sering merancang aktiviti keluarga.
"Sebelum ke resort tersebut, kami sempat mengadakan hari keluarga di daerah ini untuk meluangkan masa bersama keluarga besar kami.
"Wani (Nurhazwani) yang selalu merancang setiap aktiviti keluarga kerana dia sangat sistematik dan perancangannya selalunya menjadi," ujarnya.
Sementara itu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Unit Forensik hospital berkenaan apabila lebih 200 ahli keluarga dan kenalan hadir menziarahi keluarga mangsa termasuk bekas Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said; ADUN Kijal, Datuk Razali Idris dan bekas ADUN Jabi, Mohd Iskandar Jaafar.
Proses bedah siasat selesai kira-kira jam 3.30 petang sebelum jenazah dibawa ke Bangi, Selangor kira-kira jam 4 petang untuk dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Sungai Tangkas, Kajang.
Sebelum ini media melaporkan, mangsa yang juga pensyarah Akademi Pengajian Bahasa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang meninggal dunia selepas lemas ketika mandi di kolam renang resort berkenaan bersama suaminya kira-kira jam 5.30 petang. - Sinar Harian
Must-Watch Video
Cara lain mengikuti berita kami