[TERKINI] Gelombang Serangan Baharu Iran-Israel | Trump Timbang Tindakan Ketenteraan AS. Klik untuk laporan penuh.
NATIONAL

Taklimat khas akan dianjur elak kesilapan papar Jalur Gemilang - Fahmi

Khalis Khadir 17/04/2025 | 05:18 MYT
Fahmi bercakap dalam sidang media, di sini, pada Khamis. - Foto Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Kerajaan akan menganjurkan sesi taklimat khas kepada organisasi media dan unit komunikasi korporat bagi memperjelas tatacara yang betul dalam penggunaan Jalur Gemilang.

Ringkasan AI
  • Sesi taklimat khas akan diadakan oleh kerajaan untuk memperjelas tatacara penggunaan Jalur Gemilang kepada organisasi media dan unit komunikasi korporat.
  • Isu kontroversi mengenai ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit sedang disiasat oleh KDN, PDRM, dan MCMC.
  • Permohonan maaf telah dibuat oleh akhbar Sin Chew Daily atas kesilapan teknikal dan pembetulan diterbitkan semula.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, taklimat itu akan diadakan di Institut Penyiaran dan Penerangan Tun Abdul Razak (IPTAR) dalam tempoh dua minggu lagi.
“Berdasarkan apa yang telah berlaku, kita telah memutuskan untuk mengadakan satu sesi penerangan dan taklimat mengenai tatacara penggunaan pempameran lambang kebangsaan iaitu Jalur Gemilang.
“Kita akan anjurkan sesi ini untuk rakan-rakan media dan juga unit-unit komunikasi korporat di IPTAR dalam masa dua minggu, insya-Allah,” katanya dalam sidang media, di sini, pada Khamis.
Sidang Media Mingguan Menteri Komunikasi
Menurutnya, beliau bersama Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching telah bertemu dengan pihak pengurusan media Sin Chew Daily susulan isu kontroversi yang timbul pada Selasa lalu.
“Kami telah bertemu dengan pihak pengurusan daripada media tersebut dan kita telah memaklumkan bahawa siasatan pihak berkuasa sedang berjalan,” katanya.
Beliau turut menegaskan, siasatan berkaitan ilustrasi Jalur Gemilang tanpa bulan sabit itu kini dikendalikan Kementerian Dalam Negeri (KDN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).
“Walaupun kita ambil pendekatan memberikan penerangan dan taklimat, siasatan oleh pihak KDN, PDRM dan juga MCMC ini tetap akan berjalan,” tegasnya.
Ketika ditanya jangkaan tempoh siasatan, Fahmi menjelaskan, kes berkenaan kini berada di bawah bidang kuasa KDN kerana berkaitan dengan bahan bercetak dan bukan hanya aspek digital.
“Kes ini melibatkan bahan bercetak, jadi ia di bawah KDN. Walaupun Sin Chew Daily ada surat khabar digital, aspek digital itu di bawah MCMC tetapi kes keseluruhan ini boleh dirujuk terus kepada KDN,” ujarnya.
Akhbar Sin Chew Daily pada Selasa menerbitkan ilustrasi Jalur Gemilang dan bendera China sempena lawatan Presiden China, Xi Jinping ke Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, bendera Malaysia yang dipaparkan tidak mempunyai bulan sabit.
Dalam permohonan maaf yang diterbitkan pada Selasa, akhbar itu memohon maaf atas kesilapan teknikal dan membuat pembetulan dengan menerbitkan semula menerusi edisi cetakan pada Rabu.
#kesilapan Jalur Gemilang #Fahmi Fadzil #Sin Chew Daily #terkini