PANDEMIK COVID-19 telah mengubah dunia. Aspek yang telah berubah antaranya komunikasi dalam sistem pendidikan.

Jika dahulu anak-anak perlu ke sekolah untuk belajar, hari ini segala bentuk komunikasi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) 100 peratus secara dalam talian di rumah.

Maka dengan itu wujudlah terma baru iaitu Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Bagi ibu bapa yang mampu menyediakan komputer dan talian internet yang stabil untuk PdPR, pasti anak-anak mereka mampu mengadaptasi sesi PdPR dalam suasana yang lebih baik.

Persoalannya, bagaimana pula anak-anak dari keluarga yang tidak berkemampuan?

Anak-anak yang tinggal di luar bandar atau anak-anak yang duduk jauh di pedalaman?


Taksonomi Bloom

Tinjauan Kementerian Pendidikan (KPM) mendapati, 1.85 juta murid tidak mempunyai peranti dan menghadapi masalah akses internet.

Selain itu, statistik kajian #untukMalaysia menunjukkan 79.5 peratus atau lapan daripada 10 kanak-kanak yang dikenal pasti sebagai mereka yang tercicir adalah golongan B40.

Dengan halangan dan cabaran teknologikal ini, bagaimanakah Taksonomi Bloom yang dibangunkan oleh Benjamin Samuel Bloom 1956-2001 melihat pendekatan komunikasi PdPR tahun 2021 ini?

Ringkasnya, Taksonomi Bloom 2001 mengatakan bahawa pendekatan dalam pembelajaran kognitif manusia asasnya bermula dengan mengingati, memahami, aplikasi, analisis, penilaian dan akhir sekali mencipta.

Terdapat juga versi awal Taksonomi Bloom 1956 yang meletakkan penilaian sebagai kemuncak kematangan pembelajaran.

Bagaimanapun, Taksonomi Bloom tidak dapat lari daripada pengkritik. Contohnya, pegawai Penasihat Kanan Pengajaran dan Pembelajaran dari EL Education, Ron Berger menulis dalam EducationWeek.org bahawa, pembelajaran sebenar bukan dalam bentuk hirarki atau proses linear.

Berger menambah, selepas tamat belajar, para pelajar akan mendapati mereka berada dalam situasi di mana perlu mencipta sesuatu seperti pelan perniagaan, laporan, kempen komuniti dan sebagainya.

Maka dengan itu, Berger mengatakan bahawa pembelajaran sebenar berlaku apabila mereka melalui proses seperti mencuba, menguji prototaip dan ulang kaji.

Berger akhirnya merumuskan, pembelajaran sebenar dalam kehidupan adalah sesuatu yang dinamik, sinergistik, berkaitan satu sama lain dan menjurus kepada penciptaan sesuatu.

Semestinya pembelajaran bukan satu bentuk piramid yang statik.

Mungkin dalam kelas bersemuka, logik Taksonomi Bloom lebih praktikal, akan tetapi apabila diterapkan dalam konteks kelas dalam talian, bukan mudah untuk fokus berjam-jam lamanya kerana pendekatan pembelajaran yang dibangunkan pada 1956 dan diperbaharui pada 2001 jauh berbeza dengan situasi pembelajaran dalam talian era pandemik 2021.

Dalam konteks PdPR hari ini, pendekatan Taksonomi Bloom memerlukan pemboleh ubah dalam bentuk intervensi ibu bapa.

Contohnya, bagi pelajar sekolah rendah, sebelum kelas bermula ibu bapalah yang akan memastikan komputer dan buku sekolah anak mereka tersedia.

Ibu bapa perlu bersedia sepanjang masa untuk menjawab sebarang persoalan anak-anak mengenai subjek dalam kelas mereka.

Tanpa intervensi ibu bapa dalam kelas PdPR ini, maka pembelajaran anak-anak pasti akan tergendala.

Bagi anak yang sudah besar dan bersekolah menengah mungkin hal ini lebih mudah.

Tetapi bagaimanakah kita dapat mengaplikasi Taksonomi Bloom untuk pembelajaran dalam talian untuk murid sekolah rendah yang kurang bernasib baik dari segi sokongan kewangan dan teknologi?


Konsep Lain

Oleh demikian, tidak salah jika konsep lain diberi perhatian seperti Teori Kecerdasan Pelbagai oleh Howard Gardner (1983) untuk membina budaya pembelajaran baru pasca COVID-19.

Siapa tahu selepas ini Malaysia mampu melahirkan tokoh seperti Albert Einstein?

Selain itu, konsep pembelajaran dari pengalaman (experiential learning) contohnya yang memberi penekanan kepada menghargai pengalaman kegagalan sebagai motivasi anjakan pembelajaran.

Ataupun paling tidak, memberikan ruang kepada guru-guru membentuk kaedah pembelajaran unik tersendiri mengikut kemampuan dan kreativiti  kumpulan pelajar masing-masing.

Di pihak kerajaan, sokongan kepada PdPR memang ada, contohnya, kewujudan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA) yang akan memberi manfaat kepada penduduk Sabah dan Sarawak dengan penambahan lebih 1,000 menara komunikasi serta naik taraf hampir 2,000 alat pemancar komunikasi di kedua-dua wilayah tersebut.

Dalam masa yang sama, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah  menasihatkan agar syarikat telekomunikasi mengambil berat aduan pelanggan atau mereka bakal dikenakan penalti.

Selain itu, terdapat juga program anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) seperti Program CYDIP2021 yang melibatkan kolaborasi Fakulti Pendidikan UiTM, Pusat Jaringan Komuniti, Pejabat ICAN UiTM, Celcom Axiata Berhad dan kumpulan Maker Talent for Digital Innovation (MTDI) yang bertujuan untuk membantu golongan guru dalam menghadapi kelas PdPR.

Program ini berlangsung dari Mei hingga September 2021.

Hakikatnya Taksonomi Bloom sudah menjadi model pilihan sistem pendidikan. Bagaimanapun, kita tidak lagi tinggal di tahun 1956 atau 2001, cabaran PdPR yang dihadapi dalam era pandemik 2021 ini bukan calang-calang dan ia telah memberi kesan dan impak kepada pelbagai pihak seperti guru, ibu bapa dan pelajar sendiri.

Secara kesimpulannya, membina generasi berfikiran aras tinggi dalam era pandemik memerlukan perbincangan komprehensif yang mampu menyediakan mereka ke dunia pasca COVID-19.

Dalam masa yang sama, semestinya lebih banyak usaha dan dana perlu diperuntukkan dengan pantas untuk memastikan anak-anak kita yang kurang bernasib baik tidak ketinggalan dalam PdPR. 


Rujukan

1. Ahmad Suhael Adnan (2019, Ogos 2020). Pelan tindakan JENDELA tambah baik komunikasi digital negara. Berita harian Online. https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2020/08/725928/pelan-tindakan-jendela-tambah-baik-komunikasi-digital-negara

2. Berger, Ron. (2018). Here’s What’s Wrong with Bloom’s Taxonomy: A Deeper Learning Perspective. www.EducationWeek.org. https://www.edweek.org/education/opinion-heres-whats-wrong-with-blooms-taxonomy-a-deeper-learning-perspective/2018/03

3. Berita Harian. (021, Julai 9). Telco didenda jika gagal selesai aduan pelanggan.  Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/bisnes/teknologi/2021/07/837646/bhplus

4. Hazhari Ismail (2021, Mac 2021). COVID-19 antara punca utama kemahiran 3M murid terjejas. Berita Harian Online https://www.bharian.com.my/berita/pendidikan/2021/03/794037/COVID-19-antara-punca-utama-kemahiran-3m-murid-terjejas

5. Mohd Nazri Abdul Rahman (2021, Jun 19).  Perbaiki pelaksanaan PdPR 2.0 atasi isu keciciran pelajar. Berita Harian Online. https://www.bharian.com.my/kolumnis/2021/06/829593/perbaiki-pelaksanaan-pdpr-20-atasi-isu-keciciran-pelajar




* Penulis adalah adalah penganalisis perang saraf media dan mantan penyelidik dalam ilmu Perang Saraf Media dan Informasi dan pernah menjadi Felo Penyelidik Operasi Psikologi dan Propaganda di Pusat Pengajian Perangsaraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA

** Artikel berkenaan merupakan cetusan bersama Calon PhD (Pengurusan Pendidikan) Fakulti Pendidikan, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Timbalan Pendaftar, Universiti Teknologi MARA, Salmiwati Othman

*** Pandangan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan Astro AWANI.