NATIONAL
Taktik jual mercun bola, 'Happy Boom' secara sembunyi terbongkar
Abang Zainal Abidin (tengah) menunjukkan rampasan mercun yang dibuat melibatkan dua premis yang gagal mematuhi penjualan permit di Klebang dan Khantan. - Foto Sinar Harian
IPOH: Polis menahan dua lelaki yang disyaki melanggar syarat permit dengan menjual mercun dan bunga api yang tidak dibenarkan dalam pemeriksaan di Klebang dan Khantan, Chemor, semalam.
Ketua Polis Daerah Ipoh, ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad berkata, kedua-dua suspek berusia 30-an itu ditahan dan mercun pelbagai jenis yang dianggarkan bernilai lebih RM10,000 dirampas.
"Kedua-dua suspek mempunyai permit, namun siasatan mendapati mereka menyorokkan stok mercun di gudang dan menjual secara tersembunyi selepas mendapat permintaan daripada pelanggan.
"Pelbagai mercun antaranya 'Happy Boom' dan mercun bola yang tidak dibenarkan telah dirampas berikutan berisiko menyebabkan kecederaan serius dan gangguan ketenteraman awam," katanya kepada pemberita di Balai Polis Jelapang di sini.
Menurut beliau, kedua-dua mereka akan direman dan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957.
Tambah Abang Zainal Abidin, operasi selama 12 jam melibatkan pasukan enam pegawai dan 29 anggota itu telah menjalankan pemeriksaan di 126 premis sekitar bandar raya Ipoh.
"Kita menerima sebanyak 200 permohonan permit penjualan bunga api dan mercun namun hanya 126 permit dikeluarkan.
"Selain itu, pihak polis tiada laporan diterima membabitkan kecederaan akibat mercun setakat ini," katanya. - Sinar Harian