KUALA LUMPUR: Penyelidik pendidikan Anuar Ahmad menyifatkan perancangan Kementerian Pendidikan di bawah kepimpinan menteri baharunya Fadhlina Sidek sebagai sesuatu yang memberangsangkan.

Begitupun, beliau berharap dua perkara yang digerakkan kepimpinan terdahulu iaitu penambahan guru dan takwim persekolahan yang bermula pada Mac, dapat diteruskan.

Berkenaan pengambilan guru, Anuar melihat usaha itu masih diperlukan memandangkan negara masih berhadapan masalah kekurangan guru di sekolah yang agak signifikan.

“Dasar menambah bilangan guru itu mesti diteruskan untuk memastikan anak-anak kita mendapat guru-guru yang mencukupi dalam proses pengajaran dan pembelajaran (P&P) mereka,” katanya pada program Agenda AWANI pada Khamis.

Berkenaan takwim atau kalendar persekolahan, beliau berpendapat, tiada keperluan untuk menukar waktu permulaannya kembali kepada bulan Januari walaupun ramai yang menggesa ia dilakukan.

“Mengambil kira keadaan pada waktu ini dan seboleh mungkin kita mahu memastikan anak-anak kita dalam keadaan baik apabila calon-calon SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) tak perlu berhadapan dengan musim tengkujuh dan sebagainya, saya fikir kita kena bersedia untuk meneruskan takwim kita mulai bulan Mac sepertimana yang telah diputuskan oleh pimpinan terdahulu,” jelas beliau.

Selain itu, Anuar melihat wujud beberapa perkara lagi yang boleh diteruskan pihak kementerian di samping banyak input baharu daripada pengumuman menteri baharu itu yang menarik untuk diteliti.


Takwim persekolahan sedia ada, penambahan guru wajar diteruskan - Anuar