Taman Eko Rimba Kuala Lumpur dibuka semula bermula esok

Bernama
Mac 12, 2021 10:07 MYT
Kawasan itu menjadi alternatif kepada masyarakat menjalankan aktiviti hujung minggu memandangkan perjalanan merentas negeri masih belum dibenarkan. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Bagi warga kota yang rindu untuk beriadah sambil menikmati kehijauan alam semula jadi, pastinya pembukaan semula Taman Eko Rimba Kuala Lumpur (TERKL) di Bukit Nenas disambut dengan senyum lebar.
Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia Datuk Mohd Ridza Awang berkata kawasan itu menjadi alternatif kepada masyarakat menjalankan aktiviti hujung minggu memandangkan perjalanan merentas negeri masih belum dibenarkan berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat.
Bagaimanapun, katanya pengunjung masih perlu terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk memasuki kawasan yang turut dikenali sebagai Paru-Paru Hijau Kuala Lumpur itu (The Green Lung of Kuala Lumpur).
"Selain perlu mematuhi penjarakan fizikal dan penggunaan pelitup muka, pengunjung hanya dibenarkan untuk melakukan aktiviti seperti 'jungle trekking' dan memerhati burung. Aktiviti perkhemahan dan berkumpulan beramai-ramai secara serentak tidak dibenarkan sama sekali," kataya.
Beliau berkata demikian kepada Bernama selepas merasmikan Sistem Bayaran Permit Berkomputer yang dibangunkan dengan usahasama Jabatan Perhutanan Wilayah Persekutuan (JPWP) dengan Bahagian Teknologi Maklumat Ibu Pejabat Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (IPJPSM).
Sejak mengenakan bayaran masuk bermula 1 Jan tahun lepas, TERKL yang terkenal dengan tarikan utamanya seperti 'Titian Silara' (Canopy Walk) dan 'Bamboo Walk', merekodkan pungutan berjumlah kira-kira RM900,000 dengan purata pengunjung 15,000 orang sebulan.
Bayaran masuk yang dikenakan adalah RM10 (dewasa), RM1 (kanak-kanak) dan warga emas (RM1) bagi warganegara, sementara bagi bukan warganegara, kadar bayaran dikenakan sebanyak RM40 (dewasa), RM5 (kanak-kanak) dan RM40 bagi warga emas.
Sementara itu, katanya mulai esok juga Sistem Bayaran Permit Berkomputer akan diguna pakai pihak pengurusan, dan pengunjung hanya perlu memberikan kad pengenalanan sebelum 'wristband' diberikan sebagai berfungsi sebagai tiket masuk.
"Secara tidak langsung ia juga dapat menambah baik kaedah penjualan tiket di kaunter dan dapat mengelak ketirisan hasil dengan pemantauan maksimum melalui rekod berkomputer dan tranksaksi," katanya.
Terdapat tujuh denai hutan yang berlatar belakang suasana bandar seperti Denai Penarahan, Denai Jelutong, Denai Merawan, Denai Suboh, Denai Sindora, Denai Hopea, Denai Shorea dan Jambatan Gantung terdapat di TERKL.
-- BERNAMA
#Taman Eko Rimba Kuala Lumpur #TERKL #alam semula jadi #dibuka semula #bukit nenas #paru-paru hijau kuala lumpur #PKP #PKPB #SOP #Mohd Ridza Awang