NATIONAL
Tamat khidmat Senator Disember ini, Tengku Zafrul sedia bertanding Presiden BAM
Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menyatakan bahawa selepas menamatkan khidmatnya sebagai menteri, beliau akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada BAM dalam usaha memajukan badminton negara. - Foto BERNAMA
KUALA LUMPUR: Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, menyatakan bahawa selepas menamatkan khidmatnya sebagai menteri, beliau akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada BAM dalam usaha memajukan badminton negara.
Mengulas mengenai pencalonannya sebagai Presiden Persatuan Badminton Malaysia (BAM) bagi penggal 2025-2029, beliau memaklumkan bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, telah bersetuju dan memberi peluang kepadanya untuk bertanding.
"Beliau (Perdana Menteri) memberi pertimbangan, memandangkan saya akan menamatkan tugas sebagai menteri pada Disember ini, jadi selepas itu saya boleh fokus kepada BAM," katanya dalam sidang media di Program Iftar Kasih Ukhwah pada Selasa.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada BAM atas pencalonannya.
Pada Ogos 2024, kabinet memutuskan untuk tidak membenarkan menteri atau timbalan menteri bertanding atau memegang jawatan dalam persatuan sukan.
Susulan itu, beberapa menteri, termasuk Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad, serta Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, menarik diri daripada jawatan Presiden Persatuan Bola Sepak Kuala Lumpur (KLFA).