PUTRAJAYA: Perdana Menteri Thailand Anutin Charnvirakul pada Khamis berkata usaha menamatkan keganasan serta menangani pelbagai cabaran di wilayah sempadan selatan negara itu kekal sebagai antara keutamaan kerajaannya.
Berucap pada sidang media bersama Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Khamis, Anutin berkata Thailand dan Malaysia akan terus memperkukuh kerjasama rapat serta berterusan bagi memajukan aspek keselamatan dan pembangunan di kawasan sempadan kedua-dua negara.
"Keamanan mewujudkan prasyarat kepada pembangunan, manakala pembangunan pula membantu membina keamanan yang berkekalan," kata beliau.
Anutin turut merakamkan penghargaan atas peranan Malaysia sebagai fasilitator proses Dialog Damai Selatan Thailand.
Beliau mengalu-alukan jaminan Anwar bahawa Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap keganasan dan akan terus bekerjasama rapat dengan Thailand bagi memastikan pihak yang bertanggungjawab dibawa ke muka pengadilan.
Malaysia berperanan sebagai fasilitator dalam proses Dialog Damai Selatan Thailand yang menyokong dialog antara kerajaan Thailand dan pihak berkepentingan, termasuk Barisan Revolusi Nasional (BRN).
Bekas Ketua Pengarah Keselamatan Negara, Majlis Keselamatan Negara (MKN) Datuk Mohd Rabin Basir dilantik sebagai Fasilitator Kerajaan Malaysia pada 1 Julai 2024, manakala Ketua Perunding Thailand ialah Thanat Suwannanont.
-- BERNAMA