KUALA LUMPUR: Pusat Ekonomi Digital (PEDi) akan ditambah baik bagi mencapai sasaran Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD), untuk meningkatkan penyertaan usahawan muda dalam sektor ekonomi digital.

Menterinya Fahmi Fadzil berkata PEDi merupakan pemangkin kepada ekonomi digital di peringkat akar umbi dan sebuah platform untuk menggalakkan masyarakat menjana pendapatan di lokasi setempat.

"Kita nak lebih ramai anak muda terutama yang lelaki, sebab kita lihat usahawan ramai dalam kalangan wanita.

"Lebih daripada itu, hasrat saya ialah menunjukkan bahawa untuk terlibat dalam ekonomi digital, kita tidak perlu meninggalkan kampung halaman, kerana di mana sahaja kita berada kita boleh mendapat manfaat dan pendapatan yang baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Bernama ketika ditemui di reruai KKD sempena Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan menyasarkan 10,000 usahawan ekonomi digital di seluruh negara melalui inisiatif PEDi pada tahun depan.

PEDi ialah inisiatif KKD melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) serta penyedia perkhidmatan telekomunikasi, yang memberi peluang kepada komuniti setempat memperkasa kemahiran digital dan menjana pendapatan melalui platform e-Dagang.

Terdahulu, Fahmi yang diiringi Ketua Setiausaha kementerian Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, turut meluangkan masa meninjau ruang pameran Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) yang dibuka di reruai KKD.

Mengulas mengenai aktiviti yang dianjurkan KKD di reruai berkenaan, beliau berkata pengunjung berpeluang menyaksikan permainan interaktif yang dibangunkan oleh syarikat tempatan, serta cabutan bertuah.

Pada masa sama, Fahmi berkata pengunjung boleh mengambil peluang untuk meningkatkan pengetahuan mengenai peranan dan khidmat kementerian serta agensi kerajaan, dan mengunjungi program Jualan Mega MADANI termasuk Jualan Rahmah dan Jualan Agro MADANI.

Penganjuran Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI selama tiga hari bermula semalam, dari 9 pagi hingga 10 malam, memberi fokus kepada tiga komponen iaitu Showcase Pencapaian Setahun Kerajaan MADANI, perkhidmatan touchpoint rakyat dan Inisiatif Kesejahteraan Rakyat.

Majlis perasmian penutupan Program Setahun Bersama Kerajaan MADANI, dijadual disempurnakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim esok dan akan turut dihadiri oleh kepimpinan tertinggi Kerajaan Perpaduan.

-- BERNAMA