[INFO BANJIR] Dapatkan info terkini cuaca dan banjir seluruh negara
MALAYSIA

Tambah hakim, luaskan mediasi antara langkah atasi kes tertunggak - Ketua Hakim Negara

Bernama 27/11/2025 | 09:45 MYT
Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh hadir pada Majlis Pelancaran Mahkamah Litar Pulau Pinang di Mahkamah Tinggi, Kompleks Mahkamah Pulau Pinang hari ini. - Foto Bernama
GEORGE TOWN: Ketua Hakim Negara Datuk Seri Wan Ahmad Farid Wan Salleh mengumumkan beberapa langkah untuk menangani kes tertunggak dan meningkatkan akses kepada keadilan melalui pelantikan pesuruhjaya kehakiman tambahan serta meluaskan perkhidmatan mediasi.


Ringkasan AI
  • Ketua Hakim Negara mengumumkan langkah untuk menangani kes tertunggak dan meningkatkan akses kepada keadilan melalui pelantikan pesuruhjaya kehakiman tambahan serta perkhidmatan mediasi.
  • Beliau menekankan bahawa melantik lebih ramai hakim bukanlah penyelesaian menyeluruh terhadap krisis kehakiman yang mendasari tanpa pembaharuan struktur yang lebih mendalam.
  • Persidangan Mahkamah Rayuan secara litar membuka ruang interaksi lebih dekat antara badan kehakiman dengan komuniti undang-undang setempat, memberi manfaat kepada peguam muda, serta mengurangkan beban logistik pihak terlibat.


Beliau berkata bagaimanapun, menambah bilangan hakim semata-mata bukanlah penyelesaian menyeluruh kerana ia hanya bersifat menyelesaikan masalah semasa dan tidak mampu menyelesaikan krisis yang mendasari secara mampan tanpa pembaharuan struktur lebih mendalam.

"Melantik lebih ramai pesuruhjaya kehakiman hanyalah tindakan firefighting (memadam kebakaran). Kita tidak mahu sekadar memadam kebakaran. Terdapat penyelesaian lain seperti mediasi untuk mengurangkan beban kes dan kita sedang melaksanakannya, ia masih dalam proses," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Persidangan Mahkamah Rayuan Secara Litar di sini hari ini.

Mengakui tekanan dihadapi mahkamah, Wan Ahmad Farid berkata beban tugas yang ditanggung para hakim tidak lagi mampan, dengan merujuk contoh di Johor Bahru yang menyaksikan seorang hakim terpaksa mengendalikan kira-kira 800 kes sedangkan dalam keadaan biasa, seorang hakim biasanya mengurus 200 hingga 250 kes sahaja.

Terdahulu dalam ucapan perasmiannya, Wan Ahmad Farid berkata pengaktifan semula persidangan Mahkamah Rayuan secara litar dapat memperluas akses rakyat terhadap sistem kehakiman serta memberi manfaat besar kepada negeri-negeri di zon utara.

Beliau berkata langkah itu bukan sekadar memenuhi harapan pelbagai pihak termasuk peguam kanan, tetapi juga membuka peluang kepada peguam muda dan pelatih untuk mempelajari teknik penghujahan, penyediaan memorandum rayuan serta menyaksikan standard profesionalisme di peringkat tertinggi.

Sementara itu, Presiden Mahkamah Rayuan Datuk Abu Bakar Jais berkata persidangan secara litar bukan sahaja memudahkan akses kepada Mahkamah Rayuan tetapi juga membuka ruang interaksi lebih dekat antara badan kehakiman dan komuniti undang-undang setempat, termasuk menyediakan peluang pembelajaran secara langsung kepada peguam muda.

Beliau berkata inisiatif itu turut mengurangkan beban logistik pihak terlibat khususnya Jabatan Penjara yang selama ini perlu membawa banduan dari seluruh Semenanjung ke Putrajaya, selain memudahkan kehadiran ahli keluarga banduan.

Abu Bakar berkata persidangan litar itu juga memberi manfaat besar kepada pegawai kehakiman di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Tinggi kerana mereka dapat menyaksikan sendiri proses rayuan, termasuk penghujahan dan alasan penghakiman yang disampaikan terus oleh panel.



KEHAKIMAN-AKSES 3 (AKHIR) GEORGE TOWN



"Maklum balas secara langsung ini memperkukuh kefahaman terhadap penerapan undang-undang dan asas penghakiman, sekali gus meningkatkan konsistensi serta koheran dalam pentadbiran kehakiman," katanya.

Dalam kenyataan berasingan, Presiden Majlis Peguam Mohamad Ezri Abdul Wahab menyifatkan inisiatif persidangan mahkamah litar itu sebagai dasar berfokuskan rakyat dan berpandangan ke hadapan.

Beliau berkata inisiatif itu mewujudkan proses rayuan yang lebih mudah diakses dengan meringankan beban pihak berkepentingan daripada perlu melakukan perjalanan ke Putrajaya, sekali gus menjimatkan masa, mengurangkan kos dan meminimumkan gangguan, manfaat utama terutamanya bagi golongan rentan seperti banduan.

"Sidang litar juga mewujudkan peluang berharga untuk pembangunan profesional dalam kalangan peguam dengan memperluas pengalaman advokasi serta menyokong pengagihan kepakaran undang-undang yang lebih seimbang di seluruh negara," katanya.

-- BERNAMA






#Ketua Hakim Negara #kes tertunggak #Wan Ahmad Farid Wan Salleh #pelantikan pesuruhjaya kehakiman tambaha