[TERKINI] Ketegangan Memuncak: Iran Lancar 9 Serangan ke Atas Israel dalam 24 Jam. Ikuti laporan terkini di sini.
NATIONAL

Tambah kemahiran pekerja untuk peluang naik gaji

Sinar Harian 04/05/2025 | 04:30 MYT
Dari kiri: Shahlina, Ku Mohd Fikri Hanif dan Abdul Rahman.
SHAH ALAM: Golongan pekerja disaran proaktif meningkatkan kemahiran tanpa hanya bergantung kepada gaji asas semata-mata untuk meraih pendapatan lebih tinggi dalam menghadapi persekitaran ekonomi yang kian mencabar.

Ringkasan AI
  • Pekerja disarankan untuk proaktif meningkatkan kemahiran, terutama dalam bidang digital dan teknologi, untuk meraih pendapatan lebih tinggi dan kekal relevan dalam pasaran kerja.
  • Syarikat seperti Tun Emas dan Telekung Kalista Clara menggalakkan pekerja menambah kemahiran dan menawarkan pelbagai insentif seperti komisen, elaun tambahan, dan latihan percuma untuk meningkatkan pendapatan pekerja.
  • Syarikat juga menyediakan sokongan khas kepada pekerja yang memerlukan dan mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan kadar gaji minimum yang berbeza mengikut lokaliti untuk memastikan majikan tidak terbeban.

Pengarah Urusan Tun Emas, Ku Mohd Fikri Hanif Ku Puteh berkata, pekerja perlu melengkapkan diri dengan pelbagai kemampuan dan pengetahuan demi kelangsungan hidup agar kekal relevan dalam pasaran kerja.
Menurutnya, pekerja yang menguasai kemahiran digital dan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), pemasaran digital dan pengurusan projek mampu mendapat gaji 20 hingga 30 peratus lebih tinggi.
"Jadi nasihat saya, jangan berhenti belajar. Ambillah kursus percuma, sertai program peningkatan kemahiran dan sentiasa nilai diri sendiri sama ada membawa nilai tambah kepada syarikat.
"Jangan malu juga untuk bincang dengan majikan bila rasa sumbangan kita dah meningkat. Majikan yang bagus akan hargai pekerja yang beri impak," katanya kepada Sinar Harian.
Ujar Ku Mohd Fikri, syarikatnya menggunakan pendekatan produktiviti seperti kerja hibrid untuk mengurangkan kos operasi dan memastikan pekerja menerima gaji berpatutan tanpa membebankan syarikat.
Menurutnya, lebihan yang dijimatkan itu boleh diagih semula kepada pekerja dalam bentuk elaun atau bonus.
Beliau menjelaskan, pekerja di syarikatnya dibantu menjana pendapatan tambahan melalui projek sampingan, diberi latihan percuma dan mendapat manfaat seperti makan tengah hari bersubsidi.
"Kami juga beri perhatian kepada pekerja yang memerlukan sokongan khas seperti ibu tunggal atau yang menanggung ibu bapa agar mereka tidak terperangkap dalam tekanan kewangan," ujarnya lagi.
Ku Mohd Fikri Hanif memaklumkan, syarikat itu menawarkan kemudahan lain seperti panel kesihatan yang dirasakan sama nilainya dengan kenaikan kadar gaji dalam meringankan beban hidup pekerja.
"Secara tidak langsung, nilai gaji mereka meningkat secara praktikal apabila beban sara hidup berkurang," jelasnya.
Sementara itu, Pengasas Telekung Kalista Clara, Shahlina Mustafa berpandangan, pekerja perlu mempunyai kemahiran melakukan pelbagai tugas dalam satu masa untuk meningkatkan peluang kenaikan gaji.
Menurutnya, berpengalaman dan kebolehan menyelesaikan masalah merupakan antara ciri yang disukai majikan sama ada di syarikat sedia ada ataupun baharu.
"Jadi, majikan pastinya tidak teragak-agak untuk menaikkan gaji seseorang pekerja kerana mereka tahu pekerja ini mampu membantu menaikkan jualan syarikat," ujarnya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu, syarikatnya ada mengambil langkah tingkatkan pendapatan pekerja melalui sistem komisen dan elaun tambahan untuk menampung kos sara hidup semasa.
"Contohnya, host live akan terima komisen jualan atas jualan telekung, manakala pekerja operasi akan diberi elaun berdasarkan jumlah bungkusan yang disiapkan," katanya.
Sementara itu, menurut Pengarah Rhusma Property, Abdul Rahman Hussin, pekerja di syarikatnya digalakkan menambah kemahiran seperti fotografi bagi meningkatkan produktiviti dan membantu menambah pendapatan.
Tambah beliau, kebanyakan pekerja termasuk kerani mempunyai kemahiran tambahan seperti suntingan melalui aplikasi Canva, sekali gus membolehkan mereka menyunting bahan promosi apabila diminta tanpa perlu mendapatkan khidmat grafik luar.
Dengan kos sara hidup yang meningkat katanya, pekerja di syarikat yang menawarkan khidmat jurupandu Escapezone Kedah untuk aktiviti pendakian di Gunung Keriang itu juga dibenarkan mengambil dan menghantar pendaki dari luar negeri sebagai pendapatan sampingan.
"Saya percaya pekerja yang dibimbing dengan kemahiran tambahan ini bukan sahaja mampu menambah nilai diri mereka, malah menjadikan operasi syarikat lebih efisien," katanya.
Mengulas lanjut, beliau menyarankan kerajaan supaya mempertimbangkan kadar gaji minimum yang berbeza mengikut lokaliti dan jenis perniagaan bagi memastikan majikan tidak terbeban dengan pekerja mendapat gaji berpatutan.
"Contohnya, kos operasi di kawasan luar bandar tidak sama seperti di bandar besar. Jika kadar gaji diselaraskan mengikut lokaliti, ia boleh memberi ruang kepada majikan untuk terus berdaya saing," ujarnya.
Bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Muhammad Ibrahim, dilapor berkata Malaysia kini berada di ambang kemunduran ekonomi sekiranya tiada reformasi menyeluruh dilaksanakan terhadap sistem pendidikan dan struktur pekerjaan negara.
Katanya, realiti pendapatan gaji sebenar di Malaysia pada hari ini merosot sebanyak tiga kali ganda berbanding empat dekad lalu.
Menurut beliau, gaji graduan pada masa kini tidak setimpal dengan pertumbuhan ekonomi yang pesat dan peningkatan kos sara hidup.
Katanya, pendapatan yang diterima jauh lebih rendah daripada apa yang sepatutnya mereka peroleh sekiranya kadar inflasi diambil kira.

*Laporan ini hasil kolaborasi Astro AWANI, Sinar Harian, The Star, Sin Chew Daily dan Malaysia Nanban.
#pendapatan rakyat #gaji rendah #peranan majikan #peranan kerajaan