Kerajaan Pulau Pinang hari ini menjelaskan, secara dasarnya projek tambak laut di perairan selatan negeri itu (Penang South Reclamation atau PSR) sudah dipersetujui dan hanya boleh dilaksanakan sekiranya mematuhi 18 nasihat yang diberikan Majlis Perancang Fizikal Negara (MPFN).

Ketua Menterinya, Chow Kon Yeow berkata, pendirian kerajaan negeri juga tidak bercanggah dengan MPFN kerana beliau sendiri tidak menyebut projek PSR itu telah mendapat kelulusan majlis itu.

Katanya, MPFN telah menimbang dan bersetuju bahawa Kerajaan Negeri Pulau Pinang perlu mematuhi 18 nasihat sebagaimana yang ditetapkan.

Selari dengan pendirian MPFN, tumpuan Pulau Pinang dan pelaksana projek itu, Konsortium SRS, ketika ini adalah memastikan kesemua 18 nasihat tersebut dipatuhi bagi membolehkan projek berkenaan diteruskan.

"Kita tak akan mulakan apa-apa sehingga kelulusan telah diperolehi dan arahan telah dipatuhi," kata Chow mengulas kenyataan Menteri Wilayah Persekutuan Khalid Abd Samad terdahulu hari ini yang berkata MPFN tidak membuat sebarang kelulusan atau persetujuan ke atas projek PSR tersebut.

Katanya, antara 18 perkara yang perlu dipatuhi adalah mengambil kira impak tambakan laut ini kepada komuniti setempat yang mungkin terkesan daripada cadangan pembangunan itu.

Ia termasuk 805 keluarga nelayan yang berjumlah 3,140 orang dalam konteks penyediaan peluang pekerjaan baru, penempatan semula dan peluang ekonomi baharu.

Tambahnya, rancangan projek itu kini juga boleh memasuki fasa seterusnya, iaitu reka bentuk serta perincian dari aspek kos, yang dianggarkan mengambil masa sekurang-kurangnya dua tahun.

"Dengan syarat yang perlu dipatuhi ini, Konsortium SRS dan kerajaan negeri akan mulakan kerja peringkat kedua, iaitu untuk melihat kepada reka bentuk dan seni bina kewangan untuk melaksanakan projek ini.

"Kerja-kerja ini akan mengambil masa satu atau dua tahun. Oleh itu, sebarang spekulasi yang mengatakan tambak laut, Lebuh Raya Pan Island Link (PIL), Transit Aliran Ringan (LRT) akan mula tahun depan, semuanya bergantung kepada kepatuhan kita kepada syarat yang ditetapkan.

"Selagi kita tak patuh kepada penilaian kesan alam sekitar (EIA), penilaian impak sosial (SIA), bermakna kita kena kerja lebih keras," kata Chow pada satu sidang media di pejabatnya di Komtar, hari ini.

Selain itu, Chow berkata, kerajaan negeri juga perlu menunggu maklum balas Jabatan Alam Sekitar (JAS) berkenaan laporan EIA terbaru yang dikemukakan Konsortium SRS sebelum projek berkenaan boleh dimulakan.

Jelas beliau, laporan kedua EIA itu sudah dihantar kepada JAS pada Februari lalu dan dijangka dipaparkan kepada umum di beberapa lokasi terpilih selama sebulan bermula 29 April ini.

Pada Khamis, Chow memaklumkan MPFN telah bersetuju dengan pelaksanaan projek tambak laut bagi membentuk tiga buah pulau buatan di Perairan Selatan Pulau Pinang dan perlu mematuhi 18 nasihat yang ditetapkan.

Katanya, cadangan projek itu dikemukakan kerajaan negeri bagi menjana pembangunan ekonomi negeri dan membiayai pelaksanan Pelan Induk Pengangkutan (PIP) Pulau Pinang.

Kerajaan Negeri Pulau Pinang ketika ini merancang menambak laut di Permatang Damar Laut di sini bertujuan membentuk tiga buah pulau buatan yang kemudiannya akan dijual sebagai modal bagi menampung kos PIP negeri yang dianggarkan bernilai RM46 bilion.

Kerajaan negeri sebelum ini mengumumkan pelaksanaan projek tambakan laut seluas kira-kira 1,800 hektar itu di Permatang Damar Laut bagi tujuan pembangunan.