SHAH ALAM: Persekutuan Persatuan-Persatuan Bas Sekolah Malaysia mengesahkan tambang bas sekolah bagi sesi persekolahan penggal baharu pada Mac ini dijangka meningkat.

Presidennya, Amali Munif Rahmat berkata, kenaikan itu berlaku berikutan pertambahan kos operasi dan penyelenggaraan jentera terutama di kawasan bandar khususnya Lembah Klang.

“Memang kemungkinan ada peningkatan harga untuk penggal baharu tetapi saya tidak pasti berapa jumlahnya kerana ia berbeza mengikut operator itu sendiri dengan mereka perlu mengambil kira margin perniagaan dan situasi semasa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Ahad.

Menurutnya, antara faktor tambang terpaksa dinaikkan adalah kerana alat ganti kenderaan mahal dan lebih 80 peratus alat ganti diimport dari luar.

“Kalau dulu harga alat ganti RM100 tetapi sekarang dah naik RM120 hingga RM150, dan kos juga berdasarkan penyelenggaraan bulanan.

"Kami juga perlu menukar minyak hitam dan perlu juga melihat berapa jauh perjalanan bas itu setiap bulan sebab itu saya kata operasi setiap operator tidak sama, malah ada juga operator perlu membayar parkir kalau tidak akan disaman," jelasnya.

Amali berkata, kenaikan tambang itu berlaku berdasarkan kawasan dan kos operasi selepas kerajaan sudah tidak mengawal tambang bas sekolah dan ia mengikut kepada pasaran sejak Januari 2015.

“Pihak persatuan hanya boleh memberi nasihat dan garis panduan kepada operator yang akan mengambil kira dan bergantung terhadap kajian semula penyata untung rugi, selain kata sepakat pihak berkenaan bersama ibu bapa," katanya.

Mengulas lanjut mengenai kaedah agar ibu bapa tidak terbeban dengan kenaikan itu, Amali Munif mencadangkan supaya sistem bas sekolah percuma diperkenalkan oleh kerajaan seperti yang dilaksanakan di beberapa negara maju seperti Australia dan Britain.

"Satu sahaja cara untuk mengurangkan beban ibu bapa akibat daripada kenaikan ini ialah kerajaan perlu menanggung kos tambang sekolah seperti yang dibuat di Kuala Lumpur melibatkan kawasan Projek Perumahan Awam (PPA) dan juga Projek Perumahan Rakyat (PPR).

“Mereka yang tinggal dan memiliki rumah di PPA dan PPR, anak-anak mereka yang bersekolah kerajaan automatik akan berdaftar dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) layak mendapat perkhidmatan bas sekolah percuma untuk perjalanan pergi dan pulang setiap hari,” katanya

Difahamkan sistem ini sudah dimulakan sejak enam tahun yang lalu melibatkan lebih 100 operator bas sekolah di ibu negara.

“Malah di Miri dan Kuching Sarawak sudah dimulakan dengan kaedah ini yang diuruskan oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) dengan kos tambang setiap pelajar ditanggung oleh PBT di kawasan berkenaan,” katanya. - Sinar Harian