MALAYSIA

Tan Sri antara dua ditahan kes penipuan pelaburan lebih RM300 juta - Azam

Bernama 22/01/2026 | 09:57 MYT
Individu berkenaan dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan berskala besar yang berada di bawah bidang kuasa siasatan SPRM. - Bernama
KOTA BHARU: Seorang lelaki bergelar Tan Sri antara dua individu ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana disyaki terlibat dalam penipuan pelaburan berskala besar dianggarkan bernilai lebih RM300 juta di Kuala Lumpur.

Ketua Pesuruhjaya SPRM Tan Sri Azam Baki berkata berdasarkan maklumat diterima, individu berkenaan dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan berskala besar yang berada di bawah bidang kuasa siasatan SPRM.

Beliau berkata penipuan berkenaan melibatkan isu yang memberi kesan kepada rakyat apabila ramai pelabur mengalami kerugian berjumlah ratusan juta ringgit.

"Kita telah pergi kepada individu yang terlibat dalam kes ini. Ini adalah tanggungjawab dan kerja kami," katanya dalam sidang media selepas Program Cakna Rasuah: SPRM Bersama Media Zon Timur di sini hari ini.

Azam berkata Tan Sri berkenaan ditahan semalam dan direman selama empat hari bermula hari ini selepas ditangkap di ibu pejabat SPRM di Putrajaya manakala suspek wanita berusia 50-an merupakan Ahli Lembaga Pengarah turut ditahan, kelmarin.

"Beliau (Tan Sri) datang ke pejabat dan kami terus tahan, kemudian kita menjalankan proses rakaman percakapan beliau sebagai orang yang ditahan," katanya sambil memaklumkan suspek merupakan individu daripada sektor swasta dan kes berkenaan diklasifikasikan sebagai jenayah ekonomi.

Menurut Azam, kes berlaku kira-kira dua tahun lepas itu membabitkan pelbagai pelaburan tidak jelas namun menjanjikan pulangan tinggi dan dipercayai melibatkan kesalahan undang-undang lain.

Beliau berkata mana-mana pelaburan yang hendak dijalankan, syarikat sepatutnya mendapat kelulusan Suruhanjaya Sekuriti memandangkan terdapat undang-undang serta pemantauan oleh pihak berkuasa berkaitan.

"Syarikat Tan Sri berkenaan tidak mempunyai kelulusan dan orang ramai terus percaya. Dalam negara kita, masih ramai yang percaya kepada skim sebegini walaupun perkara ini terus berlaku," katanya.

Sehubungan itu, Azam menasihati orang ramai supaya tidak mudah percaya kepada skim pelaburan dan membuat semakan dengan pihak berkuasa sebelum melabur, sambil memaklumkan terdapat mangsa yang mengalami kerugian hingga RM4 juta.

"Tan Sri ini menipu satu Malaysia berumur hujung 60-an dan merupakan seorang tokoh yang dikenali," katanya.

-- BERNAMA

#SPRM #tan sri ditahan #penipuan pelaburan #Azam Baki #siasatan